PUTRAJAYA, 4 November: Kerajaan akan menyalurkan RM1.1 bilion bagi pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 kepada 5.4 juta penerima secara berperingkat mulai hari ini.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan pembayaran kepada penerima sedia ada akan dibuat dari 4 hingga 6 November, manakala penerima baharu serta pemohon rayuan yang diluluskan akan menerima bayaran mulai 16 November ini.
Daripada jumlah keseluruhan penerima, empat juta terdiri daripada isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah, manakala 1.4 juta lagi ialah warga emas tanpa pasangan.
Mengikut kategori kelayakan, penerima isi rumah akan menerima bantuan sehingga RM500, manakala warga emas tanpa pasangan akan menerima RM150.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan MADANI menyalurkan sebahagian hasil negara kepada golongan yang memerlukan menerusi STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Kekuatan negara menuntut kita menegakkan keadilan untuk semua kelompok masyarakat, meskipun di kota atau di desa, tanpa mengira kaum dan agama.
“Menjelang sambutan Deepavali, besarlah harapan saya agar penyaluran STR Fasa 4 ini dapat sedikit sebanyak meringankan perbelanjaan keluarga yang meraikannya, khususnya kaum India yang merupakan antara penerima utama STR dengan lebih 630,000 penerima, di samping membantu penerima lain mengurus keperluan harian dan perbelanjaan akhir tahun.
“Bantuan ini melengkapi usaha kerajaan untuk memperkukuh ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya.
Sementara itu, MOF memaklumkan penerima yang mempunyai akaun bank akan menerima bayaran menerusi pengkreditan terus ke akaun masing-masing, manakala mereka yang tidak mempunyai akaun bank boleh menuntut bayaran secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Bagi memastikan bantuan STR terus disalurkan kepada golongan yang layak, seramai 1.68 juta penerima yang tidak mengemas kini maklumat permohonan selama tiga tahun berturut-turut telah diberikan peringatan menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) supaya berbuat demikian.
MOF turut menyarankan penerima terlibat mengemas kini maklumat melalui portal rasmi STR bagi membolehkan kelayakan mereka disemak semula untuk 2027.
Pengemaskinian maklumat itu penting bagi memastikan bantuan disalurkan berdasarkan maklumat terkini penerima.
Maklumat lanjut, semakan status dan soalan lazim (FAQ) berkaitan STR boleh diperoleh menerusi portal rasmi bantuantunai.hasil.gov.my, manakala maklumat SARA boleh dirujuk di sara.gov.my.
MOF turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan serta hanya merujuk portal rasmi untuk mendapatkan maklumat terkini.
Dalam pada itu, MOF memaklumkan penstrukturan semula kewangan kerajaan serta penambahbaikan tatakelola membolehkan lebih banyak hasil negara disalurkan kepada rakyat yang memerlukan.
Peruntukan keseluruhan bagi STR dan SARA tahun ini berjumlah RM15 bilion, iaitu hampir tiga kali ganda jumlah bantuan yang disalurkan menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 2016. – Bernama




