Suara penjaja, masyarakat perlu terus didengari

Facebook
WhatsApp
PENYANDANG kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing bergambar bersama penjaja. Foto Pusat Khidmat penyandang kerusi DUN Meradong

BINTANGOR, 4 November: Keperluan dan permasalahan yang dihadapi penjaja serta masyarakat setempat perlu diberikan perhatian melalui pendekatan turun padang bagi memastikan setiap isu dapat dikenal pasti dan ditangani mengikut keutamaan.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, interaksi secara langsung dengan masyarakat penting bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai cabaran yang dihadapi, khususnya dalam menjalankan aktiviti perniagaan dan kehidupan seharian.

“Pendekatan turun padang amat penting bagi memastikan suara rakyat sentiasa didengari dan setiap isu yang dibangkitkan mendapat perhatian sewajarnya.

“Kita perlu sentiasa mendekati masyarakat, mendengar pandangan dan memahami permasalahan mereka supaya keperluan rakyat tidak terlepas daripada perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika mengadakan sesi beramah mesra bersama penjaja dan orang awam di Pasar Tamu Bintangor pada semalam.

Dalam kunjungan tersebut, Ding meluangkan masa berinteraksi dengan peniaga dan pengunjung pasar bagi mendapatkan maklum balas serta cadangan berkaitan keperluan masyarakat setempat.

Katanya, komunikasi secara bersemuka membolehkan pelbagai pandangan dikongsi secara terbuka, selain membantu memperkukuh hubungan antara pemimpin dan penduduk.

Beliau turut menekankan kepentingan komunikasi dua hala yang berterusan supaya masyarakat mempunyai ruang untuk menyuarakan pandangan dan permasalahan mereka.

“Hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat perlu terus dipupuk melalui komunikasi dua hala, sikap prihatin serta kesediaan untuk mendengar dan memahami keperluan rakyat.

“Setiap pandangan dan cadangan daripada masyarakat amat penting dalam usaha memastikan kebajikan penduduk terus diberikan perhatian,” katanya.

Tambahnya, pendekatan mendekati masyarakat secara santai turut memberikan peluang kepadanya untuk bertanya khabar dan memahami keadaan semasa penduduk, termasuk cabaran yang dihadapi penjaja dalam menjalankan perniagaan.

Beliau menegaskan bahawa usaha mendampingi masyarakat akan diteruskan sebagai sebahagian daripada komitmen menjaga kebajikan penduduk serta memperkukuh keharmonian komuniti.

Menurutnya, hubungan yang baik antara pemimpin dan masyarakat menjadi asas penting dalam usaha membangunkan Meradong sebagai kawasan yang lebih maju, harmoni dan sejahtera.

Oleh Earl Anek