SETIAP bandar mempunyai bangunan yang bukan sekadar berdiri sebagai binaan konkrit dan besi, tetapi menyimpan seribu satu cerita tentang kehidupan masyarakat, perubahan zaman serta perjalanan pembangunan sesebuah bandar.
Di tengah-tengah kesibukan Bandar Raya Kuching, Bangunan Saujana di Jalan Masjid merupakan antara lokasi yang pernah menjadi sebahagian daripada denyut nadi kehidupan masyarakat setempat.
Bagi generasi yang pernah membesar atau mencari rezeki di kawasan itu, Saujana bukan sekadar kompleks tempat letak kereta, sebaliknya menjadi lokasi pertemuan, tempat menjamu selera, ruang perniagaan dan persinggahan pengguna pengangkutan awam yang mewarnai kehidupan bandar raya ini.
Kompleks berkenaan mula beroperasi selepas siap dibina pada 1 Februari 1991. Lebih tiga dekad kemudian, bangunan itu kini berada di persimpangan perubahan apabila diumumkan bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan semula kawasan Jalan Masjid.
Pengumuman yang dibuat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 1 November lalu membuka lembaran baharu kepada masa depan kawasan berkenaan.
Menurut beliau, pembangunan semula itu akan menyaksikan pembinaan bangunan moden di kawasan sekitar sehingga ke Brooke Dockyard, selain sebuah stesen utama sistem Transit Aliran Autonomi (ART) yang dirancang dibina di hadapan Gurdwara Sahib Kuching.
Perancangan berkenaan bukan sesuatu yang baharu kerana idea untuk mentransformasikan kawasan itu telah dibincangkan sejak 2013 hingga 2014 sebelum diteruskan selepas beliau mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri pada 2017.
SAUJANA DAN KENANGAN SEBUAH BANDAR
Suatu ketika dahulu, Saujana cukup dikenali sebagai destinasi menjamu selera dalam kalangan penduduk Kuching.
Medan selera di bahagian atas bangunan pernah menjadi tarikan tersendiri dengan pelbagai pilihan makanan, suasana santai serta pemandangan bandar raya yang menjadikannya lokasi pilihan keluarga, rakan dan pengunjung.
Nama Saujana juga cukup sinonim dengan pengalaman menikmati makanan tempatan, termasuk hidangan istimewa seperti ais batu campur (ABC), makanan laut dan rojak yang pernah mendapat sambutan ramai.
Tidak hairanlah, bagi mereka yang pernah berkunjung ke situ, Saujana mempunyai nilai sentimental yang sukar digantikan.
Namun, seperti kebanyakan bangunan lama di pusat bandar, masa turut membawa perubahan kepada fungsi dan suasananya.
Aktiviti perniagaan semakin berkurangan, manakala medan selera yang pernah meriah dilaporkan tidak lagi beroperasi sejak beberapa tahun lalu.
Bangunan itu kemudiannya lebih tertumpu kepada fungsi tempat letak kereta serta kemudahan berkaitan pengangkutan awam sebelum Terminal Bas Saujana ditutup pada 2025 susulan pelaksanaan projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
DARIPADA PUSAT AKTIVITI KEPADA WAJAH BAHARU BANDAR RAYA
Pengumuman pembangunan semula Saujana memperlihatkan bagaimana kawasan yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat kini bakal memainkan peranan dalam fasa pembangunan bandar raya yang lebih moden.
Kehadiran sistem ART dijangka mengubah corak pergerakan penduduk serta landskap pengangkutan awam di pusat bandar raya Kuching.
Dengan perancangan sebuah stesen utama ART di kawasan berkenaan, Jalan Masjid berpotensi menjadi antara lokasi penting dalam rangkaian mobiliti bandar raya pada masa hadapan.
Pembangunan yang merangkumi sehingga ke Brooke Dockyard turut mengambarkan usaha menyusun semula kawasan bandar dengan mengambil kira keperluan infrastruktur, kemudahan awam dan pertumbuhan aktiviti ekonomi.
Bagaimanapun, pembangunan moden tidak seharusnya hanya dinilai melalui keindahan bangunan baharu atau kecanggihan sistem pengangkutan yang diperkenalkan.
Sebaliknya, aspek keselesaan pengguna, aksesibiliti, keselamatan pejalan kaki, kemudahan perniagaan serta kelangsungan kehidupan komuniti setempat juga perlu diberikan perhatian.
KENANGAN YANG TIDAK SEPATUTNYA HILANG
Di sebalik perancangan pembangunan, pengumuman mengenai perobohan Saujana turut mengundang pelbagai reaksi daripada mereka yang mempunyai hubungan tersendiri dengan bangunan itu.
Ada yang melihatnya sebagai langkah perlu bagi membolehkan Kuching bergerak seiring dengan pembangunan bandar moden, manakala sebahagian yang lain berharap nilai sejarah dan kenangan yang terikat pada Lokasi tersebut tidak dilupakan.
Pengalaman peniaga, pekerja dan pengunjung bangunan itu menjadi sebahagian daripada kisah yang membentuk identiti Saujana.
Bagi sesetengah pihak, bangunan lama mungkin hanya dilihat sebagai struktur yang semakin using tetapi, bagi mereka yang pernah bekerja, berniaga atau menghabiskan masa di situ, setiap sudutnya menyimpan cerita tersendiri.
Oleh itu, usaha mendokumentasikan sejarah, gambar lama serta kisah masyarakat yang pernah menjadikan Saujana sebahagian daripada kehidupan mereka wajar dipertimbangkan sebelum bangunan itu melalui perubahan besar.
Malah, pendekatan pembangunan yang menggabungkan elemen moden dengan penghargaan terhadap memori setempat mampu menjadikan Kuching sebuah bandar yang bukan sahaja maju, tetapi turut mempunyai identiti tersendiri.
PEMBANGUNAN TANPA MELUPAKAN SEJARAH
Transformasi Bandar Raya Kuching sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada perubahan fizikal dan keperluan masyarakat yang semakin berkembang.
Bangunan lama mungkin mempunyai tempoh hayat tertentu, namun nilai kenangan yang ditinggalkan tidak semestinya berakhir Bersama perobohannya.
Saujana bakal menjadi sebahagian daripada babak perubahan tersebut apabila kawasan Jalan Masjid diberikan nafas baharu menerusi perancangan pembangunan moden dan sistem pengangkutan ART.
Apa yang lebih penting, pembangunan berkenaan perlu membawa manfaat nyata kepada penduduk, peniaga, pengguna pengangkutan awam serta generasi akan datang.
Akhirnya, kemajuan sesebuah bandar bukan hanya diukur berdasarkan ketinggian bangunan atau kecanggihan infrastrukturnya, tetapi juga sejauh mana pembangunan itu mampu mengekalkan identiti, menghargai sejarah dan meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.
Mungkin suatu hari nanti, bangunan Saujana hanya tinggal dalam gambar dan rakaman kenangan.
Namun, cerita tentang medan seleranya, suasna sibuk di kawasan sekitarnya serta pengalaman mereka yang pernah menjadikan Saujana sebagai sebahagian daripada kehidupan akan terus memori dalam sejarah perkembangan Bandar Raya Kuching.
Saujana mungkin bakal tiada, tetapi kenangannya akan terus hidup dalam ingatan warga Kuching.
Oleh Adi Safarman





