104 warga SK Methodist Anglo-Chinese didedah kemahiran bantuan hayat asas

Facebook
WhatsApp
ANTARA aktiviti dijalankan bersama pihak bomba di SK Methodist Anglo-Chinese. Foto BBP Sarikei

SARIKEI, 4 November: Seramai 104 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Methodist Anglo-Chinese mendapat pendedahan mengenai bantuan hayat asas (BHA) bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran tentang kepentingan tindakan awal ketika menghadapi kecemasan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, aktiviti itu diadakan sempena Kem Perkhemahan Bersepadu Badan Beruniform Sesi 2026 yang berlangsung di sekolah tersebut, baru-baru ini.

“Pendedahan mengenai bantuan hayat asas penting untuk meningkatkan kesedaran warga sekolah tentang tindakan awal yang perlu diambil apabila berdepan situasi kecemasan.

“Pengetahuan asas ini dapat membantu peserta memahami kepentingan memberikan bantuan awal sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat atau petugas perubatan,” katanya.

BANTUAN HAYAT ASAS…Murid dan kakitangan SK Methodist Anglo-Chinese mengikuti program BHA yang dikendalikan anggota BBP Sarikei.

Katanya, program yang dijalankan dari 9.30 hingga 10.30 pagi tersebut melibatkan 51 kakitangan sekolah dan 53 murid dengan bimbingan dua anggota bomba dari BBP Sarikei.

“Program ini bukan sahaja memberikan pendedahan mengenai bantuan hayat asas, malah dapat memupuk kesedaran tentang pentingnya persediaan menghadapi kecemasan.

“Kerjasama antara pihak bomba dan sekolah juga penting dalam memperluas pendidikan keselamatan kepada murid serta kakitangan,” katanya.

Program tersebut turut menjadi sebahagian daripada pengisian perkhemahan badan beruniform bagi memberikan pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah kepada peserta.

Oleh Earl Anek