Pemain bola sepak Sepanyol De Miguel meninggal dunia selepas bertembung dengan penjaga gol

Facebook
WhatsApp
FOTO edaran tanpa tarikh yang dikeluarkan oleh CD Tenerife pada 3 November 2026 ini menunjukkan penyerang Jesus de Miguel meraikan jaringan gol. Penyerang Tenerife itu meninggal dunia pada 3 November 2026 akibat kecederaan yang dialaminya selepas bertembung dengan penjaga gol FC Andorra dalam perlawanan divisyen dua Sepanyol. Foto AFP "Broken with pain, with a lump in our throat and unable to believe this is real, CD Tenerife announces the tragic death, at 8:00 am (7am GMT), of Jesus de Miguel Alameda," his club Tenerife said in a statement. (Photo by Handout / CD TENERIFE / AFP) / RESTRICTED TO EDITORIAL USE - MANDATORY CREDIT "AFP PHOTO / CD TENERIFE / HANDOUT / " - NO MARKETING NO ADVERTISING CAMPAIGNS - DISTRIBUTED AS A SERVICE TO CLIENTS

MADRID, 4 November: Penyerang Tenerife, Jesus de Miguel, meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya selepas bertembung dengan penjaga gol FC Andorra dalam perlawanan liga divisyen dua Sepanyol, sekali gus menyelubungi dunia bola sepak dengan suasana dukacita dan mencetuskan ucapan takziah dari seluruh dunia.

“Dengan hati yang hancur, sebak dan masih sukar mempercayai apa yang berlaku, CD Tenerife mengumumkan pemergian Jesus de Miguel Alameda secara tragis pada 8.00 pagi (7.00 pagi GMT),” menurut kenyataan kelab itu.

“Tiada kata-kata yang mampu mengubati kesedihan ini atau mengurangkan rasa dukacita yang amat mendalam. Ingatan dan doa kami bersama keluarga, sahabat terdekat serta penyokong Tenerife yang hari ini bersedih atas berita tragis ini.”

De Miguel, 30, bertembung dengan penjaga gol kebangsaan Guinea Khatulistiwa, Jesus Owono, di bahagian tengah padang ketika penjaga gol itu keluar jauh dari gawangnya untuk mengeluarkan bola.

Sumber polis Sepanyol memberitahu AFP bahawa siasatan berhubung kejadian itu telah dibuka di bawah pengawasan pihak kehakiman.

PEMAIN Paris Saint-Germain dan Villarreal berdiri sambil bertafakur selama seminit bagi memperingati penyerang Tenerife, Jesus de Miguel Alameda, sebelum perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara UEFA peringkat liga, hari keempat, antara Villarreal CF dengan Paris Saint-Germain di Stadium La Ceramica, Vila-real, pada 3 November 2026. Foto AFP

Insiden itu berlaku menjelang penghujung perlawanan di Stadium Heliodoro Rodriguez Lopez ketika kedua-dua pasukan terikat 2-2. Owono dilayangkan kad merah sebelum perlawanan dihentikan.

Media Sepanyol melaporkan De Miguel mengalami serangan jantung sebelum berjaya diselamatkan menerusi tindakan pemulihan. Pemain itu kemudian dibawa ke hospital dan ditempatkan di unit rawatan rapi.

Tenerife kemudian memaklumkan keadaan De Miguel mengalami “kemerosotan neurologi” sebelum beliau meninggal dunia.

“Saya amat bersimpati. Semoga Jesus beristirahat dengan tenang,” tulis bekas pertahanan Barcelona yang juga pemegang saham majoriti Andorra, Gerard Pique, menerusi media sosial.

Andorra turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga De Miguel, rakan sepasukan dan kelab Tenerife.

Presiden Tenerife, Felipe Minambres, berkata pasukannya memerlukan bantuan profesional untuk menghadapi tragedi itu.

“Kami masih sukar mempercayai apa yang berlaku, namun kami akan melalui tempoh berkabung ini dan saling memberikan sokongan,” katanya kepada pemberita.

“Kami memerlukan bantuan profesional, selain sokongan semua penyokong kerana mereka turut berkongsi kesedihan yang kami rasai hari ini.”

Presiden kelab itu berkata dua perlawanan Tenerife seterusnya, menentang Granada dalam saingan liga pada 7 November dan Badajoz dalam Copa del Rey pada 10 November, dijangka ditangguhkan selepas perbincangan dengan Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF).

Real Madrid, Barcelona, Atletico Madrid dan beberapa kelab lain di Sepanyol turut menyampaikan ucapan takziah, begitu juga pihak persekutuan.

RFEF menangguhkan semua perlawanan Copa del Rey dan Copa de la Reina yang dijadualkan berlangsung minggu ini sebagai tanda penghormatan dan solidariti.

Badan induk bola sepak Eropah, UEFA, pula memaklumkan bahawa seminit bertafakur akan diadakan sebelum perlawanan Liga Juara-Juara, Liga Europa dan Liga Persidangan Europa minggu ini.

Ucapan sokongan dan takziah

Real Madrid mengadakan sesi bertafakur selama seminit sebelum latihan pada Selasa.

“Kesedihan yang amat mendalam, tiada kata-kata yang mampu menggambarkannya,” tulis penyerang Perancis Madrid, Kylian Mbappe, menerusi Instagram.

Jurulatih Madrid, Jose Mourinho, menyifatkan kematian De Miguel sebagai sesuatu yang mengejutkan dan menyedihkan. Beliau turut berkata kejadian itu pastinya amat sukar untuk diterima oleh Owono.

Jurulatih Arsenal, Mikel Arteta, menyifatkan insiden itu sebagai sesuatu yang memilukan.

“Melihat seorang rakan seprofesion kehilangan nyawa dalam keadaan sedemikian, saya benar-benar tidak mampu menggambarkan perasaan ini dengan kata-kata,” kata jurulatih dari Sepanyol itu.

Bintang sukan lain, termasuk Rafael Nadal dan Lionel Messi, turut menyampaikan ucapan takziah menerusi Instagram.

“Tiada kata-kata… semoga beristirahat dengan tenang,” tulis penyerang Inter Miami, Messi.

“Kesedihan yang amat mendalam… hati saya bersama anda semua,” tulis bekas jaguh tenis, Nadal.

Kelab La Liga, Espanyol, turut menangguhkan majlis pengenalan jurulatih baharu mereka, Eder Sarabia, ke Rabu, manakala beberapa kelab memilih untuk tidak mengadakan sesi latihan.

Presiden La Liga, Javier Tebas, dan Menteri Sukan Sepanyol, Milagros Tolon, turut menyampaikan ucapan takziah.

“Hari ini, kita semua berkongsi kesedihan yang amat mendalam atas kehilangan yang tidak dapat diganti,” tulis Tebas menerusi X.

Sebahagian penyokong Tenerife meletakkan bunga di luar stadium kelab itu, begitu juga penyokong bekas kelab De Miguel, Castellon, di Stadium Castalia.

De Miguel menyertai Tenerife pada musim panas 2025 selepas meninggalkan Castellon dan telah bersama kelab itu selama lebih setahun. Penyerang berkenaan membantu pasukannya memperoleh kenaikan ke divisyen dua.

Pemain kelahiran Sepanyol itu memulakan kerjaya di peringkat remaja bersama Leganes di pinggir bandar Madrid sebelum mewakili beberapa kelab, termasuk Unionistas de Salamanca, dan menyertai Castellon pada 2023.

“Melihat seorang pemain kehilangan nyawa buat kali pertama selepas bertembung dengan pemain lain benar-benar memberikan kesan mendalam,” kata jurulatih pembangunan pemain muda Castellon, Izan Garrido, kepada AFP.

“Sejujurnya, kejadian itu amat sukar untuk ditonton. Berita yang diterima pagi ini menjadikannya lebih menyedihkan. Secara peribadi, saya benar-benar terkejut apabila membacanya.”