BSPTD Bau keluarkan lima saman dalam operasi trafik

Facebook
WhatsApp
PEGAWAI BSPTD IPD Bau menjalankan rondaan dan pemeriksaan kenderaan sempena operasi penguatkuasaan lalu lintas di sekitar daerah Bau bagi meningkatkan keselamatan serta mencegah kemalangan jalan raya. Foto Polis IPD Bau.

BAU, 4 November: Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Bau mengeluarkan lima saman dalam operasi rondaan, pemantauan dan penguatkuasaan lalu lintas di sekitar daerah ini, malam tadi.

Operasi itu melibatkan pemeriksaan terhadap 23 kenderaan dan 27 individu di beberapa laluan utama, termasuk Jalan Bau-Kuching, Bau-Serikin, Bau-Batu Kawa dan Bau-Lundu.

Hasil pemeriksaan, sebanyak lima saman PDRM (K) 170A dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

RONDAAN dan pemeriksaan kenderaan dilaksanakan secara berterusan bagi membendung pelanggaran peraturan lalu lintas serta mengurangkan risiko kemalangan. Foto Polis IPD Bau.

Penugasan itu turut memberi tumpuan kepada usaha mencegah kemalangan jalan raya serta memastikan pengguna mematuhi peraturan lalu lintas, khususnya di sekitar Bau.

Dalam kenyataan BSPTD IPD Bau, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi isyarat lalu lintas, mengamalkan pemanduan berhemah dan tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Pengguna jalan raya juga dinasihatkan memastikan kenderaan masing-masing berada dalam keadaan selamat serta mematuhi undang-undang bagi mengurangkan risiko kemalangan.

BSPTD Bau akan terus mempergiat rondaan, pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan semua pengguna jalan raya.

Oleh Shikin Mahmud