KUCHING, 3 November: Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan pencapaian membanggakan apabila nilai rampasan hasil operasi penguatkuasaan pasukan itu mencecah RM735.3 juta sehingga Oktober tahun ini, meningkat sebanyak 93.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Komander Briged Sarawak PGA, SAC Datuk Lim Bak Phai berkata, pencapaian itu memperlihatkan keberkesanan operasi serta komitmen tinggi seluruh warga pasukan dalam membanteras kegiatan jenayah dan pelanggaran undang-undang.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh pegawai dan anggota atas dedikasi serta kejayaan yang dicapai menerusi pelaksanaan operasi sepanjang tahun ini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Perhimpunan Bulanan Briged Sarawak PGA bagi November 2026 yang berlangsung di Dataran Kawad Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA, hari ini.
Turut hadir Timbalan Komander Briged Sarawak PGA, ACP Rosdi Inai dan Timbalan Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Kuching, DSP Abd Razak Musa @ Musah.
Dalam amanat sama, Lim turut menekankan kepentingan kesiapsiagaan seluruh warga pasukan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN13).
Menurutnya, aspek disiplin, ketahanan mental dan fizikal serta profesionalisme perlu sentiasa diperkukuh bagi memastikan setiap penugasan dapat dilaksanakan dengan cekap, berkesan dan penuh tanggungjawab.
Beliau turut mengiktiraf pencapaian warga Briged Sarawak PGA dalam bidang sukan dan inovasi, termasuk kejayaan meraih tempat kedua dalam Ujian Mara Lasak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) 2026 serta pengiktirafan terhadap pencapaian Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).
Dalam aspek pengurusan organisasi, beliau mengingatkan seluruh warga pasukan supaya terus memperkukuh integriti, mematuhi prinsip tadbir urus yang baik serta mengamalkan langkah pencegahan awal bagi menangani sebarang isu disiplin dan salah laku.
Kebajikan warga pasukan juga tidak diketepikan apabila beliau menekankan kepentingan pelaksanaan lawatan berkala kepada pegawai dan anggota yang mengalami masalah kesihatan sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan warga pasukan.
Lim turut menggesa seluruh warga Briged Sarawak PGA agar terus memperkukuh kesatuan, meningkatkan keupayaan serta mengekalkan budaya kerja berintegriti demi memastikan kecemerlangan dan kewibawaan pasukan sentiasa terpelihara. Oleh Adi Safarman





