KUCHING, 3 November: Festival Gendang Sarawak (FGS) 2026 telah berlangsung di Tebingan Kuching dari 29 Oktober hingga 1 November lalu, bersempena dengan Regata Sarawak – Festival Tebingan Kuching.
Festival itu dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak, dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) serta Pejabat Residen Bahagian Kuching.
Bertemakan ‘Nadi Warisan Irama Tradisi’, Festival Gendang Sarawak 2026 mengetengahkan keunikan seni pergendangan sebagai tarikan serta usaha memartabatkan seni dan budaya Sarawak.
Penganjuran festival ini turut memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam memelihara serta memperluas promosi seni budaya khususnya Sarawak.
Majlis Perasmian Festival Gendang Sarawak 2026 disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir, Menteri MTCP dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MySED) Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Ketua Pengarah JKKN Mohd Amran Mohd Haris; Setiausaha Tetap MTCP Datu Morshidi Fredrick; dan Pengarah JKKN Sarawak Noor Seela Noor Sulaiman.
Majlis berkenaan turut menyaksikan persembahan istimewa Nadi Borneo bertemakan ‘Dari Sungai Menyapa Dunia’ yang menghimpunkan 88 artis dan peserta.
Antara yang memeriahkan persembahan ialah Orkestra Tradisional Malaysia Istana Budaya, Andrewson Ngalai, Rodriguez Wan, Haziq Rosebi, Syura, Kumpulan Kesenian JKKN, Kelab Kesenian dan Kebudayaan Iban Batang Rajang, Pergendangan Cina SMK Sungai Tapang dan SMK Green Road, Kumpulan Kasuma Tari, Persatuan Silat Banteng Betawi dan Tyng Tyng Dance Academy.
Pada malam yang sama, dua penerima Anugerah Khas Gendang Melayu Sarawak turut diumumkan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam seni pergendangan tradisional Sarawak.
Anugerah Tokoh Seni Gendang Melayu Sarawak diberikan kepada Dahlan Morni, manakala Anugerah Primadona Seh Gendang Melayu Sarawak diberikan kepada Jemon Sitam.
Pertandingan Mega Gendang Melayu Sarawak 2026 yang berlangsung pada 30 Oktober 2026 menyaksikan Warih Melanau (Zon Sibu) muncul sebagai juara Kategori Bermukun Kumpulan, manakala Warisan Lenggok Berzaman (Zon Kuching) memenangi Kategori Tandak Berpasangan Lelaki Dewasa.
Kategori Seh Gendang Berpasangan Wanita Dewasa pula dimenangi oleh Dua Beranak (Zon Kuching), sementara Pewaris Telaga Air (Zon Kuching) dinobatkan sebagai juara Kategori Tandak Berpasangan Kanak-kanak.- Bernama





