BETONG, 3 November: Keprihatinan terhadap nasib mangsa kebakaran terus dizahirkan apabila Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu turun padang menziarahi sebuah keluarga yang kehilangan sebahagian besar kediaman mereka dalam kebakaran di Kampung Tengah, Betong, kelmarin.
Kunjungan tersebut turut menyaksikan penyerahan bantuan awal bencana menerusi Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong bagi meringankan beban keluarga yang terjejas.
Dalam kejadian malam Jumaat lalu, sebuah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Jalan Datuk Patinggi Udin, Kampung Tengah, Betong dilaporkan musnah kira-kira 75 peratus akibat kebakaran.
Lebih menyedihkan, penghuni rumah berkenaan yang terdiri daripada empat sekeluarga sedang bekerja ketika kejadian berlaku dan hanya mengetahui kediaman mereka terbakar selepas pulang dari tempat kerja.
Kemusnahan itu menyebabkan keluarga terbabit berdepan kesukaran untuk menguruskan keperluan harian serta memulakan kehidupan selepas kehilangan sebahagian besar tempat berteduh.
Menerusi kunjungan itu, Dr Richard berpeluang melihat sendiri keadaan kediaman yang terjejas, mendengar kesulitan dihadapi mangsa serta menyampaikan sokongan dan simpati kepada keluarga berkenaan.
Beliau turut berharap keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan tersebut.
Dalam pada itu, Dr Richard merakamkan penghargaan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong serta Pasukan Bomba Sukarela Betong atas tindakan pantas dan kerjasama dalam operasi memadamkan kebakaran.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.36 malam.
Pasukan BBP Betong tiba di lokasi dua minit kemudian, iaitu pada 8.38 malam, selepas menempuh perjalanan kira-kira dua kilometer dari balai.
Pemeriksaan awal mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah PPRT berstruktur kekal satu tingkat dengan kira-kira 75 peratus daripada keseluruhan struktur kediaman musnah.
Penyaluran bantuan awal serta keprihatinan pelbagai pihak diharap dapat membantu keluarga berkenaan mengharungi tempoh sukar, sementara usaha pemulihan kediaman dan kehidupan mereka diteruskan.
Oleh Adi Safarman





