45 murid SK Bungin dalami ilmu CPR dan teknik selamatkan mangsa tercekik

Facebook
WhatsApp
BENGKEL Pertolongan Cemas sempena Karnival Kita 2026 di SK Bungin. Foto: APM Spaoh

SPAOH, 3 November: Kesedaran mengenai kepentingan ilmu pertolongan cemas perlu dipupuk sejak bangku sekolah bagi memastikan generasi muda mempunyai pengetahuan dan keberanian untuk bertindak pantas ketika berdepan situasi kecemasan.

Sejajar dengan usaha itu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Spaoh terus mempergiat perkongsian ilmu keselamatan menerusi penganjuran Bengkel Pertolongan Cemas sempena Karnival Kita 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Bungin.

Bengkel berkenaan dikendalikan oleh tiga anggota APM Spaoh yang memberikan pendedahan kepada murid mengenai asas pertolongan cemas, khususnya Teknik Bantuan Pemulihan Pernafasan dan Peredaran Darah (CPR) serta kaedah menyelamatkan mangsa tercekik.

Sesi perkongsian ilmu itu diketuai Prebet Pertahanan Awam (PA) Ahmad Zulfakar Ramlan selaku penceramah utama merangkap fasilitator, dengan dibantu Prebet (PA) Nur Fadiatul Umira Rosli dan Prebet (PA) Johnycal David Achang.

Menerusi gabungan penerangan teori dan latihan amali, peserta berpeluang mempelajari teknik yang betul untuk memberikan bantuan awal kepada mangsa sebelum ketibaan pasukan penyelamat atau petugas perubatan.

Pendedahan secara praktikal itu penting bagi membina keyakinan murid untuk mengenali situasi kecemasan serta memahami tindakan awal yang perlu diambil bagi membantu menyelamatkan nyawa.

Bengkel berkenaan menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 45 murid terdiri daripada 20 lelaki dan 25 perempuan, selain mendapat sokongan serta pemantauan tiga guru SK Bungin sepanjang program berlangsung.

Pihak sekolah turut merakamkan penghargaan kepada APM Daerah Spaoh atas komitmen dan kesudian berkongsi ilmu, sekali gus membantu menyemai budaya prihatin terhadap keselamatan dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan dalam kalangan warga sekolah.

Usaha seumpama itu diharap dapat diteruskan sebagai langkah memperluas pengetahuan pertolongan cemas dalam komuniti, khususnya golongan muda.

Sebarang kecemasan boleh dilaporkan kepada APM Daerah Spaoh menerusi talian 083-473006 atau talian kecemasan 999.

Oleh Adi Safarman