Ziarah Kasih Chee Kadir, suntik semangat buat Zunaidah hadapi ujian kesihatan

Facebook
WhatsApp
DATO Mohd Chee Kadir mengadakan kunjungan Ziarah Kasih ke kediaman seorang penduduk di Kampung Hilir Laut, Kabong yang kini sedang menjalani proses pemulihan selepas diserang angin ahmar atau strok. Foto: Pusat Khidmat DUN Kabong

KABONG, 3 November: Penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir telah mengadakan kunjungan Ziarah Kasih ke kediaman seorang penduduk, Zunaidah Emi di Kampung Hilir Laut, Kabong, yang kini sedang menjalani proses pemulihan selepas diserang angin ahmar atau strok.

Zunaidah dilaporkan mengalami kelumpuhan pada sebahagian anggota badan akibat serangan strok yang dialaminya. 

Untuk rekod, beliau telah dimasukkan ke Hospital Sarikei pada 16 Oktober lalu bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum dibenarkan pulang pada 20 Oktober.

Sejak pulang ke rumah, Zunaidah kini terlantar dan memerlukan perhatian serta penjagaan rapi daripada ahli keluarga sepanjang tempoh pemulihannya.

Dalam kunjungan tersebut, Chee Kadir meluangkan masa bertanya khabar serta melihat sendiri keadaan kesihatan Zunaidah. 

Beliau turut menyampaikan kata-kata semangat dan sokongan moral kepada Zunaidah dan keluarganya agar terus tabah menghadapi ujian kesihatan yang sedang dilalui.

Menurut beliau, sokongan keluarga dan masyarakat amat penting dalam membantu pesakit menjalani proses pemulihan, khususnya bagi mereka yang berdepan dengan cabaran selepas serangan strok.

“Semoga Zunaidah diberikan kesembuhan, dipermudahkan segala urusan rawatan dan pemulihan serta dikurniakan kekuatan dan kesabaran untuk menghadapi ujian ini,” katanya.

Chee Kadir turut berharap agar Zunaidah terus bersemangat dan tidak berputus asa dalam usaha memulihkan kesihatan, di samping mendapat sokongan berterusan daripada ahli keluarga dan masyarakat setempat.

Kunjungan tersebut memperlihatkan keprihatinan berterusan pemimpin masyarakat terhadap kebajikan penduduk, khususnya mereka yang sedang berdepan dengan masalah kesihatan dan memerlukan sokongan moral.

“Semoga Zunaidah Emi segera sembuh dan kembali menjalani kehidupan seperti sediakala,” tambah Chee Kadir.

Oleh Adi Safarman