KUALA LUMPUR, 3 November: Keberkesanan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah wang tunai yang diterima semata-mata, sebaliknya sejauh mana gabungan kedua-dua mekanisme itu mampu meringankan beban perbelanjaan harian isi rumah.
Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata peningkatan peruntukan gabungan STR dan SARA kepada RM16 bilion pada tahun depan perlu dinilai berdasarkan keseluruhan manfaat yang diterima penerima, termasuk keupayaan bantuan itu memenuhi keperluan asas serta meningkatkan kuasa beli mereka.
Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memberikan gambaran lebih menyeluruh tentang keberkesanan usaha kerajaan membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup.
“Kejayaan STR dan SARA bagi 2027 tidak sepatutnya dinilai hanya berdasarkan sama ada bantuan tunai meningkat atau menurun. Ia perlu dilihat secara menyeluruh dari segi jumlah bantuan yang diterima, sejauh mana bantuan sampai kepada kumpulan sasaran dan sejauh mana ia berjaya meningkatkan kuasa beli serta mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat,” katanya kepada Bernama.
Barjoyai berkata gabungan bantuan tunai dan bantuan bersasar bagi keperluan asas membolehkan penerima memenuhi keperluan yang berbeza, dengan STR memberikan fleksibiliti untuk membayar utiliti, pengangkutan dan pendidikan anak-anak manakala SARA membantu pembelian barangan asas.
“Dengan adanya kredit khusus untuk pembelian barang keperluan, sebahagian perbelanjaan harian isi rumah dapat dikurangkan,” katanya.
Beliau berkata penilaian kecukupan bantuan perlu mengambil kira jumlah gabungan STR dan SARA yang diterima setahun, bilangan tanggungan, pendapatan isi rumah, lokasi kediaman serta corak perbelanjaan bagi memastikan bantuan bersesuaian dengan keperluan penerima.
Menurut Barjoyai, peluasan penggunaan SARA kepada barangan segar dan basah melalui pasar tani serta tamu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) adalah langkah positif kerana memberikan pilihan lebih luas kepada penerima untuk memenuhi keperluan pemakanan keluarga.
“Sebelum ini, bantuan lebih tertumpu kepada barangan runcit tertentu dan dengan peluasan ini, penerima mempunyai pilihan yang lebih luas untuk memenuhi keperluan pemakanan keluarga,” katanya.
Barjoyai berkata pemberian SARA MADANI kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang tidak menerima STR turut memperluas jaringan perlindungan sosial kepada golongan yang masih terkesan oleh peningkatan kos sara hidup.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Mohd Rahim Khamis berkata gabungan STR dan SARA mempunyai peranan saling melengkapi dalam membantu isi rumah mendapatkan barangan keperluan asas serta melindungi perbelanjaan harian daripada tekanan kenaikan harga.
“Kedua-dua mekanisme ini juga boleh dijadikan sebagai bantuan yang melindungi perbelanjaan asas daripada terjejas akibat kenaikan harga. Keberkesanan STR dan SARA bergantung kepada bagaimana golongan yang menerima bantuan ini dapat memperoleh barangan keperluan asas yang mencukupi walaupun berlaku kenaikan kos sara hidup,” katanya.
Mohd Rahim berkata peluasan penggunaan SARA juga berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi dalam sektor pertanian dan industri asas tani, membantu peniaga kecil dan sederhana menjana pendapatan serta menyokong kelestarian perniagaan yang terlibat.
Beliau berkata pemberian SARA MADANI kepada golongan yang tidak menerima STR adalah pendekatan yang baik kerana tekanan kos sara hidup bukan hanya dirasai oleh golongan berpendapatan rendah.
Menurut Mohd Rahim, kedudukan kewangan isi rumah perlu dinilai berdasarkan pendapatan boleh guna selepas mengambil kira pelbagai komitmen serta perbelanjaan harian, dan bukan hanya pendapatan kasar.
Sehubungan dengan itu, Mohd Rahim mencadangkan kerajaan menjalankan penilaian berkala mengikut kategori pendapatan, bilangan tanggungan, lokasi kediaman dan corak perbelanjaan bagi memastikan bantuan yang disalurkan mencukupi serta bersesuaian dengan keperluan sebenar golongan sasaran.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Okt lepas berkata STR dan SARA bagi 2027 meningkat kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion, dengan semua penerima STR menerima SARA hingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR pula akan menerima SARA MADANI berjumlah RM100 sebanyak dua kali, iaitu sebelum Aidilfitri dan bersempena dengan sambutan 70 tahun kemerdekaan negara.
Perdana Menteri berkata kedua-dua bantuan itu masing-masing akan memanfaatkan hingga sembilan juta penerima STR dan 13 juta rakyat Malaysia, termasuk golongan berpendapatan pertengahan (M40).- Bernama




