KUALA LUMPUR, 2 November: Touch ’n Go Sdn Bhd (Touch ’n Go) kini menawarkan Kad Perniagaan pelbagai guna bagi pembelian individu sekali gus menyediakan penyelesaian perangkaian mampan dengan menggabungkan perkongsian maklumat hubungan secara digital dan fungsi pembayaran pengangkutan harian.
Ditawarkan pada harga pengenalan RM49.90, kad berkenaan membolehkan golongan profesional, usahawan, pekerja bebas dan perniagaan untuk bertukar-tukar serta mengemas kini maklumat hubungan secara digital sama ada melalui sentuhan teknologi komunikasi medan dekat (NFC) atau imbasan kod QR sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan kad nama bercetak secara tradisional.
Selain fungsi perangkaian digital, ia mengekalkan fungsi pembayaran NFC Touch ’n Go sepenuhnya bagi membolehkan pemegang kad menggunakannya untuk pembayaran tol lebuh raya, parkir dan perkhidmatan pengangkutan awam terpilih di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Touch ’n Go Praba Sangarajoo berkata kad berkenaan dibangunkan khusus bagi memenuhi keperluan individu yang mencari alat praktikal bagi menghubungkan kehidupan profesional dengan keperluan mobiliti harian.
“Menerusi Kad Perniagaan pelbagai guna ini, kami menawarkan penyelesaian praktikal yang menyokong keperluan peribadi mahupun profesional pengguna.
“Selain memudahkan proses menjalin hubungan, ia turut menjadi alternatif bagi mereka yang semakin prihatin terhadap penggunaan bahan cetakan yang tidak diperlukan dan memastikan maklumat mereka sentiasa dikemas kini.”
“Menggabungkan perangkaian digital dan kemudahan mobiliti Touch ’n Go, kami ingin menghasilkan kad dengan pelbagai kegunaan dan selari dengan gaya hidup, pekerjaan dan pergerakan rakyat Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Penerima profil digital itu boleh melihat maklumat penting seperti nombor telefon, alamat e-mel, butiran syarikat, gambar profil serta pautan profesional, dan menyimpan maklumat hubungan tersebut terus ke dalam peranti mereka tanpa perlu mencetak semula kad jika terdapat sebarang perubahan maklumat.
Syarikat itu turut memperkenal pilihan Teams Mode untuk pelanggan korporat yang membolehkan pihak organisasi mendapatkan kad yang disesuaikan dengan penjenamaan korporat dan logo syarikat untuk digunakan seluruh warga kerja.
Kad Perniagaan Touch ’n Go (Perak) kini boleh dibeli secara individu melalui laman sesawang rasmi Touch ’n Go Shop atau dengan melayari https://shop.touchngo.com.my/. – Bernama




