KUCHING, 2 November: Polis menahan empat lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM8,504 dalam tiga operasi berasingan di sekitar Kuching pada 1 November.
Rampasan terbesar melibatkan dadah disyaki methamphetamine seberat 56.80 gram bernilai RM6,248 yang ditemukan pada seorang lelaki berusia 47 tahun di Hakka Avenue Park kira-kira 1.45 petang.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek ditahan selepas dipercayai cuba melarikan diri daripada pihak polis menggunakan sebuah kereta.
Pemeriksaan terhadap suspek menemukan dadah berkenaan, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif amphetamine dan methamphetamine.
Suspek yang mempunyai 19 rekod jenayah lampau itu direman selama tujuh hari bermula 3 hingga 9 November bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika sabit kesalahan.
Dalam operasi berasingan kira-kira 4.30 pagi, sepasukan polis daripada pasukan Op Lejang Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching menahan dua lelaki tempatan berusia 27 dan 31 tahun di kawasan Travillion Commercial Centre.
Pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek menemukan dadah disyaki ketamine seberat 12.68 gram dan 19 biji pil ekstasi seberat 13 gram, dengan nilai pasaran keseluruhan dianggarkan RM1,640.

Kedua-dua lelaki itu turut didapati positif amphetamine dan methamphetamine menerusi ujian saringan awal air kencing.
Semakan rekod jenayah mendapati suspek berusia 27 tahun mempunyai empat rekod jenayah lampau, manakala seorang lagi mempunyai lima rekod.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula 2 hingga 5 November bagi membantu siasatan.
Sementara itu, seorang lagi lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan dalam operasi kira-kira 1.15 petang di sebuah rumah di Taman Satria Jaya.
Polis merampas dadah disyaki methamphetamine seberat 5.60 gram yang dianggarkan bernilai RM616 daripada suspek.
Lelaki itu turut didapati positif amphetamine dan methamphetamine menerusi ujian saringan awal air kencing serta mempunyai lima rekod jenayah lampau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman selama dua hari bermula 3 hingga 4 November bagi membantu siasatan.
Alexson berkata, kejayaan tangkapan dan rampasan itu hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam.
Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan dadah boleh menghubungi talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di 012-208 7222 atau hotline Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di 017-592 9211.
Oleh Connie Chieng





