LIMBANG, 2 November: Penglibatan generasi muda dalam aktiviti kebudayaan perlu terus diperluas bagi memastikan warisan tradisi masyarakat Sarawak kekal terpelihara dan diwarisi generasi akan datang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, usaha itu memerlukan kerjasama berterusan antara persatuan kebudayaan, institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat dan pihak penganjur untuk menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan muda.
Menurutnya, selain memastikan kesinambungan warisan tradisi, penyertaan dalam aktiviti kebudayaan turut menjadi platform untuk mencungkil bakat, mengembangkan kreativiti serta membentuk jati diri generasi muda.
“Saya ingin menggalakkan golongan muda supaya mengambil peluang untuk mengenali dan mempelajari kebudayaan masyarakat masing-masing, di samping menghargai kebudayaan kaum lain.
“Penglibatan generasi muda amat penting bagi memastikan warisan ini terus hidup, berkembang dan dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
“Saya juga berharap persatuan kebudayaan, institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat dan pihak penganjur akan terus bekerjasama menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk melibatkan diri dalam aktiviti kebudayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan pada majlis sambutan Mass Folk Dance Integration SeBorneo ke-19 2026 anjuran Persatuan Alumni SJK Chung Hwa Limbang di Dewan St Edmund Hall, di sini, malam kelmarin.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang.
Awang Tengah berkata, aktiviti kebudayaan juga mampu membentuk generasi yang berdisiplin, mempunyai jati diri kukuh serta menghormati kepelbagaian budaya dalam masyarakat.
Sehubungan itu, katanya, usaha memperluas penyertaan golongan muda perlu diberi perhatian bagi memastikan khazanah kebudayaan terus dipelihara dan tidak dilupakan akibat arus pemodenan.
“Sarawak merupakan sebuah negeri yang amat bertuah kerana memiliki masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, bahasa dan budaya.
“Kepelbagaian ini merupakan satu kekuatan yang telah membentuk identiti serta keunikan Sarawak.
“Dalam hubungan ini, kebudayaan memainkan peranan yang amat penting sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat.
“Kebudayaan juga membolehkan kita meraikan perbezaan dalam suasana yang penuh kemesraan dan semangat kekitaan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan penganjuran Mass Folk Dance Integration SeBorneo sebagai program yang mempunyai nilai lebih besar daripada sekadar persembahan tarian.
Menurutnya, program itu menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi pengalaman, membina persahabatan dan memperkukuh persefahaman.
“Apabila kita menari dan meraikan kebudayaan bersama-sama, perbezaan bahasa, kaum dan latar belakang tidak lagi menjadi penghalang untuk kita saling berhubung,” ujarnya.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Alumni SJK Chung Hwa Limbang, Penghulu Ang Chiw Kiam serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Cina Bahagian Limbang.
Oleh Adeng Edrus





