Pelaburan teknologi meningkat, sampai bila bergantung kepada pihak luar? Sejauh mana teknologi dikuasai anak tempatan? – Tun Wan Junaidi

Facebook
WhatsApp
TUN Wan Junaidi berucap pada Istiadat Konvokesyen ke-30 Unimas di Detar Putra Unimas, Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, 2 November: Pelaburan besar dalam pusat data, infrastruktur digital dan kecerdasan buatan (AI) dialu-alukan, namun adakah pelaburan itu turut membawa pemindahan teknologi kepada negara?

Persoalan itu dibangkitkan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menekankan keperluan menilai pemilikan teknologi, penguasaan data serta pihak yang menikmati manfaat terbesar daripada pelaburan berkenaan.

“Adakah kita hanya menyediakan tanah, tenaga elektrik, kemudahan fizikal dan guna tenaga murah sahaja?

“Janganlah kita hanya berbangga apabila teknologi baharu diperkenalkan oleh syarikat-syarikat gergasi dunia.

TUN Wan Junaidi menyampaikan skrol kepada graduan pada Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen ke-30 Unimas di Detar Putra Unimas, Kota Samarahan.

“Sebaliknya, kita harus berani bertanya, mengapa suatu hari nanti teknologi yang berpengaruh di peringkat antarabangsa tidak boleh lahir daripada pemikiran anak Sarawak sendiri?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen ke-30 Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Detar Putra Unimas, hari ini.

Tun Wan Junaidi menjelaskan, sekiranya teknologi teras, kepakaran strategik serta hak milik intelek terus dikuasai pihak luar, negara perlu menilai sejauh mana pelaburan tersebut benar-benar membina keupayaan nasional.

“Kebergantungan berlebihan terhadap teknologi luar boleh memberikan implikasi kepada keselamatan data, kedaulatan digital, daya tahan ekonomi serta kebebasan negara membuat keputusan strategik.

“Negara perlu beralih daripada sekadar pengguna kepada pembangun, pencipta dan pemilik teknologi strategik,” tegasnya.

TUN Wan Junaidi (tengah) hadir menyempurnakan Istiadat Konvokesyen ke-30 Unimas di Detar Putra Unimas, Kota Samarahan.

Sehubungan itu, beliau menggesa Unimas dan institusi pengajian tinggi tempatan melahirkan graduan kejuruteraan, sains komputer, teknologi maklumat serta bidang berkaitan yang mampu mencipta, membangunkan dan menguasai teknologi baharu.

“Mengapa kita tidak boleh bercita-cita untuk melihat hasil penyelidikan Unimas berkembang menjadi teknologi yang digunakan oleh masyarakat di seluruh dunia?

“Saya percaya potensi itu ada, asalkan kita mempunyai keberanian untuk berfikir secara besar, kesungguhan untuk membina kepakaran serta ekosistem penyelidikan dan inovasi yang menyokong penciptaan teknologi tempatan,” ujarnya.

Untuk rekod, Tun Wan Junaidi mengisytiharkan Konvokesyen Unimas ke-30 sebelum menyampaikan Ijazah Kedoktoran kepada 173 graduan pada Sidang Pertama pagi tadi.

Oleh Masrin Affirah