SAINS perlu hasilkan aplikasi teknologi yang mendahului pesaing – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-35 SAINS di Wisma Melayu, Petra Jaya, malam ini.

PETRA JAYA, 1 November: Sarawak mahu Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) terus memperkukuh keupayaannya dalam menghasilkan aplikasi teknologi yang mampu mendahului pesaing, selaras dengan perubahan pesat landskap teknologi dunia.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, SAINS perlu terus berkembang daripada peranan asalnya dalam pendigitalan sistem kerajaan kepada pembangunan penyelesaian teknologi yang memenuhi keperluan masa depan.

Menurutnya, pengalaman selama 35 tahun membuktikan keupayaan SAINS menyesuaikan perkhidmatannya dengan perkembangan teknologi, termasuk dalam bidang pengkomputeran, rangkaian internet, Internet Benda (IoT) dan kini kecerdasan buatan (AI).

“SAINS memainkan peranan penting sejak peringkat awal pendigitalan kerajaan negeri, khususnya menerusi usaha mengkomputerkan data Jabatan Tanah dan Survei satu ketika dahulu.

“Kejayaan pelaksanaan aplikasi tersebut kemudiannya menjadi rujukan kepada pelbagai jabatan kerajaan lain, termasuk institusi kehakiman yang menggunakan penyelesaian digital dibangunkan SAINS.

“SAINS telah melakukan banyak perkara dan kini berkembang ke arah teknologi terkini.

“Saya berharap SAINS akan terus bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan, jika boleh, aplikasi yang dihasilkan perlu berada sedikit di hadapan berbanding pesaing kita,” katanya.

DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama tetamu kehormat yang lain menyempurnakan gimik Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-35 SAINS di Wisma Melayu, Petra Jaya, malam ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-35 SAINS di Wisma Melayu, Petra Jaya, malam ini.

Abang Johari berkata, perkembangan teknologi kini memasuki fasa baharu yang memberi penekanan kepada AI dan robotik, sekali gus menuntut perubahan dalam kaedah pengurusan serta penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Menurutnya, penggunaan teknologi perlu disertai keupayaan mengurus dan berkongsi data antara jabatan kerajaan bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran serta mempercepat pelaksanaan pembangunan negeri.

Beliau turut menekankan kepentingan membezakan keupayaan kecerdasan buatan dengan kebijaksanaan manusia kerana AI beroperasi berdasarkan data dan maklumat yang dimasukkan ke dalam sistem, manakala kebijaksanaan manusia pula terbentuk melalui pengalaman.

Dalam pada itu, beliau turut mengiktiraf sumbangan SAINS menerusi pembangunan sistem pembayaran digital SarawakPay (SPay), yang kemudiannya berkembang menjadi SPay Global, sekali gus membantu memudahkan urusan transaksi masyarakat ketika pandemik COVID-19.

Katanya, pengenalan sistem pembayaran digital itu membuktikan kepentingan persediaan awal dalam menerima perubahan teknologi, meskipun usaha pendigitalan pada peringkat awal berdepan keraguan sesetengah pihak.

Abang Johari berharap SAINS terus memainkan peranan sebagai pemacu transformasi digital Sarawak dengan menghasilkan aplikasi yang bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, malah mampu meningkatkan kecekapan pengurusan kerajaan pada masa hadapan.

Oleh Shahrul Qaizat