KABONG, 1 November: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kabong menyatakan sokongan penuh terhadap Dato Mohd Chee Kadir untuk dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN13) akan datang.
Sokongan itu dizahirkan menerusi Program Pemuda Bersama Ketua Cawangan PBB Kabong yang berlangsung di Pusat Khidmat DUN Kabong, petang tadi.
Program berkenaan menjadi platform memperkukuh hubungan antara kepimpinan parti dan jentera pemuda di peringkat akar umbi, selain membincangkan strategi serta persediaan menghadapi PRN13.
Dalam pertemuan tersebut, barisan Pemuda PBB Kabong menyatakan komitmen untuk menggerakkan keseluruhan jentera pemuda di semua peringkat bagi memastikan kesiapsiagaan parti berada pada tahap terbaik menjelang pilihan raya.
Malah, setiap ranting Pemuda PBB di kawasan itu dilaporkan telah bersedia untuk melaksanakan gerak kerja secara tersusun dan berkesan, termasuk memperkukuh penyelarasan jentera serta memperluaskan program mendekati rakyat.
Selain meneruskan pendekatan kempen secara bersemuka, Pemuda PBB Kabong turut merancang memanfaatkan platform digital dan media sosial dengan lebih agresif bagi menarik perhatian golongan pengundi muda serta menyampaikan maklumat secara lebih pantas dan berkesan.
Pada masa sama, pelbagai program akar umbi akan terus diperkasakan dengan memberi tumpuan kepada penglibatan aktif belia, pengukuhan hubungan bersama komuniti serta pelaksanaan aktiviti yang mampu mendekatkan parti dengan masyarakat setempat.
Menurut pergerakan itu, sokongan terhadap pencalonan semula Chee Kadir adalah berdasarkan keyakinan terhadap kepimpinan, pengalaman serta rekod perkhidmatan beliau yang disifatkan konsisten dalam membawa pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat di kawasan DUN Kabong.
Kesepaduan antara kepimpinan parti, jentera pilihan raya dan golongan muda dilihat sebagai faktor penting dalam memastikan kekuatan organisasi terus diperkukuh serta mampu menghadapi cabaran PRN13 dengan penuh keyakinan.
Turut hadir ialah Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Kabong, Abdul Rahim Peli.
Chee Kadir, 73, mula dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016 apabila memenangi kerusi tersebut dengan 5,069 undi dan majoriti 3,585 undi atas tiket Barisan Nasional.
Beliau kemudian berjaya mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN 2021 mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas meraih 4,789 undi dengan majoriti 2,763 undi.
Rekod kemenangan dalam dua pilihan raya berturut-turut itu dilihat sebagai antara faktor yang mengukuhkan keyakinan Pemuda PBB Kabong untuk terus menyokong beliau menerajui kawasan tersebut pada PRN13 demi memastikan kesinambungan pembangunan, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat setempat.
Oleh Adi Safarman





