SARIKEI, 1 November: Gara-gara berang selepas gagal mengeluarkan wang daripada mesin juruwang automatik (ATM), seorang lelaki bertindak merosakkan lima mesin perbankan menggunakan parang sebelum mencederakan seorang lelaki dalam kejadian di Jalan Masjid Lama, awal pagi tadi.
Suspek berusia 38 tahun itu turut dipercayai melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu melawan arus sebelum melanggar pembahagi jalan.
Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, Superintendan Aswandy Anis berkata, pihaknya menahan lelaki tempatan terbabit bagi membantu siasatan berhubung kejadian khianat di sebuah bank serta kejadian menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki di lokasi berhampiran.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira 12.05 tengah malam apabila suspek dipercayai merosakkan dua mesin ATM, dua mesin deposit tunai (CDM) dan sebuah mesin deposit cek menggunakan sebilah parang.
“Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai bertindak sedemikian kerana berasa marah selepas gagal mengeluarkan wang daripada mesin ATM tersebut.
“Suspek juga mengaku berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Aswandy berkata, selepas kejadian itu, suspek dipercayai melarikan diri dengan memandu sebuah Toyota Hilux secara melawan arus sebelum kenderaan berkenaan melanggar pembahagi jalan di Jalan Masjid Lama.
Dalam kejadian berasingan di lokasi berhampiran, seorang lelaki berusia 21 tahun yang cuba menahan suspek mengalami kecederaan parah pada tangan kiri selepas dipercayai dilibas dengan parang.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Suspek kemudiannya menyerah diri di Balai Polis Sarikei, manakala polis merampas sebuah Toyota Hilux dan sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya lagi.
Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin dan benzodiazepine (Benzo).
“Semakan juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan, Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Aswandy menegaskan bahawa polis memandang serius kejadian jenayah yang boleh mengancam keselamatan orang ramai.
“Pihak polis memandang serius kejadian seumpama ini dan menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak sendiri dalam situasi yang boleh mengancam keselamatan diri.
“Sebarang kejadian jenayah hendaklah disalurkan kepada pihak polis untuk tindakan sewajarnya,” katanya.
Oleh Earl Anek




