SPAOH, 1 November: Penubuhan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dengan peruntukan berjumlah RM1.5 bilion menjadi pemangkin utama kepada usaha mempercepatkan pembangunan infrastruktur dan ekonomi di Bahagian Betong, sekali gus meningkatkan pendapatan serta kesejahteraan rakyat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelbagai projek strategik yang dilaksanakan menerusi BDDA membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan yang lebih pesat dan seimbang di seluruh kawasan termasuk Spaoh, Debak, Beladin, Kabong dan Saratok.
Menurut beliau, pembangunan yang dirancang bukan sahaja bertujuan meningkatkan kemudahan asas, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi kepada masyarakat setempat.
“Pembangunan perlu dilaksanakan secara seimbang supaya setiap kawasan di Bahagian Betong menikmati manfaatnya, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program LCDA Berambeh ke Betong sempena Sambutan 45 Tahun Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) Bersama Komuniti di Dewan Masyarakat Spaoh, hari ini.
Uggah, yang juga Penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban berkata antara kejayaan awal yang dicapai ialah pembinaan 10 unit kedai baharu di Spaoh yang mendapat sambutan menggalakkan apabila kesemuanya telah habis dijual.
Selain itu, sebuah projek perumahan mampu milik di Jalan Bungin seluas 50 ekar turut bakal dilaksanakan dan dijangka memulakan pembinaan pada tahun hadapan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap kediaman berkualiti di kawasan tersebut.
Menariknya, projek perumahan berkenaan akan mengintegrasikan teknologi hijau apabila 50 peratus daripada unit yang dirancang dilengkapi dengan sistem tenaga solar, selaras dengan aspirasi Sarawak ke arah pembangunan mampan dan rendah karbon.
Dalam sektor pertanian, Agropark Lubuk Tamang bernilai RM7.89 juta turut dirancang untuk diperluaskan melalui kerjasama sektor swasta serta penyertaan penduduk tempatan dalam aktiviti penanaman kelapa secara komersial.
Uggah berkata Bahagian Betong mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian dan kerajaan mahu melihat lebih banyak penglibatan dalam bidang pemprosesan hasil pertanian serta penternakan ayam kampung secara berskala besar bagi menjana sumber pendapatan baharu kepada rakyat.
“Potensi pertanian di Bahagian Betong perlu dimanfaatkan sepenuhnya, termasuk melalui penglibatan sektor swasta dan masyarakat setempat supaya sektor ini dapat berkembang secara komersial serta meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan ekonomi perlu disokong oleh kemudahan infrastruktur strategik seperti Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling, pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan hasil pertanian serta jaringan jambatan yang menghubungkan kawasan-kawasan utama di Bahagian Betong.
Menurutnya, pelaksanaan pelbagai inisiatif menerusi BDDA diyakini mampu merancakkan aktiviti ekonomi setempat, menarik lebih banyak pelaburan serta mewujudkan peluang pekerjaan yang mampan kepada generasi akan datang.
“Dengan sokongan infrastruktur yang lengkap dan projek pembangunan yang dirancang secara menyeluruh, Bahagian Betong berpotensi muncul sebagai salah satu pusat pertumbuhan ekonomi baharu yang lebih maju dan berdaya saing di Sarawak,” katanya.
Turut hadir Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu; Penyandang Kerusi DUN Beting Maro, Dato Razaili Gapor; Pengurus Besar LCDA, Datu Zaidi Mahdi; serta Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas.
Oleh Adi Safarman




