Pengguna disaran teliti status kawal selia produk, jangan terpedaya dakwaan ‘semula jadi’

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan. Foto janaan AI

KUCHING, 1 November: Pengguna tidak seharusnya menganggap kosmetik, suplemen kesihatan atau ubat tradisional selamat hanya kerana produk berkenaan dipasarkan sebagai “semula jadi” atau mempunyai sejarah penggunaan turun-temurun, kata ahli toksikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Siew Ee Ling.

Beliau berkata, meskipun pengetahuan turun-temurun dapat memberikan panduan berguna, keselamatan sesuatu produk perlu dinilai berdasarkan formulasi sebenar, tujuan penggunaan serta tahap dan tempoh pendedahan kepada produk berkenaan.

“Istilah ‘semula jadi’ merujuk kepada asal usul sesuatu ramuan. Namun, istilah itu tidak dengan sendirinya membuktikan ketulenan atau keselamatan sesuatu produk berdasarkan cara penggunaannya.

“Bahan berasaskan tumbuhan boleh berbeza mengikut spesies dan bahagian tumbuhan yang digunakan, termasuk kaedah pengekstrakan serta kepekatannya. Sesetengah bahan boleh menyebabkan tindak balas alahan, manakala pencemaran oleh logam berat, sisa racun perosak atau mikroorganisma berbahaya juga boleh berlaku,” katanya kepada Bernama.

Mengulangi mesej “Don’t Guess, Test” (Jangan Agak-agak, Uji Dahulu) yang dikongsikannya dalam satu webinar mengenai keselamatan produk baru-baru ini, Siew menggesa pengguna dan pengeluar supaya membezakan antara dakwaan pemasaran yang meyakinkan dengan bukti saintifik.

Beliau berkata, semua bahan, termasuk air dan ekstrak tumbuhan, terdiri daripada bahan kimia. Oleh itu, pelabelan seperti “bebas bahan kimia” tidak memberikan sebarang jaminan keselamatan dari sudut saintifik.

“Penilaian keselamatan yang tidak mencukupi boleh mewujudkan jurang bukti, sekali gus berpotensi mengakibatkan pemekaan alahan, kerengsaan kulit dan ketoksikan sistemik, selain meningkatkan risiko kepada golongan rentan seperti kanak-kanak dan wanita hamil,” katanya.

Mengulas mengenai perdagangan digital, Siew, yang juga Pengarah Makmal Bioserasi ALAF-UKM, mengingatkan bahawa ketersediaan produk secara dalam talian atau penghantaran dari luar negara tidak menjamin keselamatan produk mahupun pengesahan bebas terhadapnya. Keadaan itu menjadikan kebolehkesanan produk amat penting.

“Pengguna perlu melihat lebih daripada sekadar dakwaan mutlak seperti ‘100 peratus selamat’ atau ‘tiada kesan sampingan’. Sebaliknya, mereka perlu menyemak maklumat ramuan yang jelas, nombor kelompok produk yang sah serta memastikan syarikat yang bertanggungjawab dapat dikenal pasti dan disahkan, bukannya bergantung pada sokongan pempengaruh,” katanya.

Beliau berkata, pengguna juga boleh menyemak status produk menerusi sistem carian rasmi Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Beliau turut menjelaskan bahawa ubat-ubatan dan suplemen kesihatan perlu didaftarkan, manakala kosmetik tertakluk pada sistem notifikasi dalam talian.

Dari sudut industri, Siew menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerapkan perancangan keselamatan berasaskan risiko sejak peringkat awal penyelidikan dan pembangunan bagi mengelakkan kos tinggi akibat penggubalan semula produk pada peringkat akhir.

“Penilaian awal dapat mengenal pasti ramuan yang tidak sesuai atau jurang bukti sebelum pengeluaran diperluas, sekali gus membantu mengurangkan keperluan penggubalan semula dan ujian berulang yang boleh dielakkan.

“Keselamatan perlu menjadi sebahagian daripada inovasi yang bertanggungjawab sejak awal, bukannya perkara yang hanya difikirkan kemudian,” katanya. – Bernama