SKS Sri Aman catat kejayaan membanggakan, tarik lebih 108,452 pengunjung

Facebook
WhatsApp
MOHAMAD Shafizan pada Majlis Penangguhan SKS 2026 Bahagian Sri Aman di Kompleks Sukan Sri Aman. Foto P201 Batang Lupar

SIMANGGANG, 1 November: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sri Aman mencatatkan sambutan menggalakkan apabila menarik kehadiran seramai 108,452 pengunjung sepanjang penganjurannya selama tiga hari dua malam di Kompleks Sukan Sri Aman.

Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, jumlah kehadiran itu membuktikan sambutan positif masyarakat terhadap usaha kerajaan mendekati rakyat menerusi penganjuran program berskala besar berkenaan.

Menurutnya, kejayaan itu turut mencerminkan kekuatan Sarawak yang berteraskan perpaduan, keharmonian dan kebersamaan rakyat berbilang kaum, selain kemajuan ekonomi yang terus berkembang.

“Program Sarawakku Sayang bukan sekadar acara keramaian, tetapi menjadi platform penting untuk membawa perkhidmatan kerajaan lebih dekat kepada rakyat, khususnya masyarakat luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan SKS 2026 Bahagian Sri Aman di Kompleks Sukan Sri Aman, di sini, hari ini.

Program berkonsepkan Pusat Sehenti (One-Stop Centre) itu menghimpunkan 52 agensi dan jabatan, termasuk agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang menawarkan 170 jenis perkhidmatan kepada masyarakat.

Antara perkhidmatan yang disediakan merangkumi bidang kesihatan, pendidikan, kebajikan dan pendigitalan, sekali gus memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai perkhidmatan di satu lokasi.

Selain itu, pengunjung turut berpeluang mendapatkan maklumat mengenai pencapaian dan perancangan pembangunan negeri menerusi Sarawak Pavilion yang memaparkan perkembangan berkaitan infrastruktur, bekalan air, elektrik serta pelbagai inisiatif kerajaan negeri.

Bagi menyokong pembangunan ekonomi setempat, sebanyak 50 gerai Sri Aman Kitchen & Sales turut mengambil bahagian dengan menawarkan pelbagai produk makanan, minuman dan kraftangan tempatan.

Kemeriahan program turut diserikan dengan pelbagai aktiviti komuniti seperti senamrobik, SKS Unity Walk, persembahan hiburan serta cabutan e-peraduan yang menawarkan pelbagai hadiah menarik, termasuk sebuah kereta Perodua Bezza, motosikal Yamaha Ego Avantiz dan Modenas Kriss, selain barangan kemas serta peralatan elektrik.

Dalam pada itu, Mohamad Shafizan merakamkan penghargaan kepada semua agensi, jabatan, wakil rakyat, penaja dan pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

Beliau berkata, penganjuran SKS Bahagian Sri Aman turut menerima sumbangan dan tajaan berjumlah RM91,008.50, sekali gus mencerminkan kerjasama erat pelbagai pihak dalam menyokong agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.

Katanya, pembangunan Sarawak perlu dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi dan tidak hanya tertumpu di bandar utama, sebaliknya turut memberi manfaat kepada penduduk di peringkat akar umbi.

Program Sarawakku Sayang akan diteruskan ke Bahagian Serian, diikuti Kota Samarahan sebelum berakhir di Kuching, dengan harapan semangat perpaduan dan kebersamaan yang ditunjukkan masyarakat Sri Aman menjadi contoh kepada bahagian lain di Sarawak.

Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Hii Chang Kee; Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh; dan Penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.

Oleh Adi Safarman