SIBU, 1 November: Pembelajaran sepanjang hayat, komunikasi berkesan dan kepimpinan merupakan elemen penting dalam membentuk individu yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, ahli Toastmasters perlu terus memperbaiki diri, terbuka menerima ilmu baharu serta memanfaatkan kemahiran dimiliki untuk memberi inspirasi kepada orang lain.
Menurutnya, pembelajaran perlu diteruskan sepanjang hayat bagi menghadapi perubahan pesat dalam teknologi, komunikasi digital dan ekonomi.
“Walaupun sudah berusia lebih 84 tahun, saya masih membaca secara meluas setiap hari. Kita mesti sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan tidak pernah berhenti belajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Jawatankuasa Gabungan Lima Kelab Toastmasters bagi penggal 2026–2027 di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Lima kelab berkenaan ialah Toastmasters Swan City, Sibu Rainbow, Rejang, The Best dan Dream Chasers.
Wong berkata, ilmu pengetahuan, idea dan pengalaman hanya akan memberi nilai sekiranya seseorang mampu menyampaikannya dengan berkesan kepada orang lain.
“Memberi impak bermaksud menggunakan ilmu, pengalaman, kata-kata dan tindakan kita untuk mempengaruhi orang lain secara positif,” katanya.
Beliau berkata, pengaruh seseorang tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah individu yang mendengar kata-katanya, tetapi sejauh mana kata-kata dan tindakan itu mampu memberi inspirasi serta kesan positif kepada orang lain.
Wong turut mengingatkan ahli supaya sentiasa membuat persediaan rapi sebelum melaksanakan sesuatu tugas menerusi prinsip enam P, iaitu ‘Proper Prior Preparation Prevents Poor Performance’.
“Saya berharap lima kelab Toastmasters berkenaan terus berkembang, menarik lebih ramai ahli dan melahirkan pemimpin masa depan yang mampu menyumbang kepada komuniti serta negara,” ujarnya lagi.
Beliau turut menyifatkan penganjuran majlis secara bersama oleh lima kelab itu sebagai satu bentuk kerjasama strategik yang membolehkan perkongsian sumber, selain menjimatkan masa, tenaga dan kos.
Turut hadir, Pengasas Gabungan Lima Kelab Toastmasters di Sibu, Dr Clement Chen dan Pengerusi Penganjur, Lawrence Tiong.
Oleh Akun Giman




