Persatuan Graduan Taiwan Sarawak perkukuh hubungan, pelihara warisan budaya

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato' Sri Huang Tiong Sii berucap di Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-62 Persatuan Graduan Taiwan Sarawak. Foto: Pusat Khidmat Parlimen Sarikei

SARIKEI, 1 November: Persatuan Graduan Taiwan Sarawak terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaringan hubungan antara bekas pelajar serta memelihara warisan budaya sepanjang 62 tahun penubuhannya, khususnya bagi memastikan generasi muda tidak terputus daripada akar budaya dan identiti masyarakat.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, persatuan tersebut bukan sekadar menjadi penghubung kepada mereka yang pernah melanjutkan pengajian ke Taiwan, malah menyediakan platform untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman.

“Sepanjang 62 tahun penubuhannya, ramai anak Sarawak telah melanjutkan pelajaran ke Taiwan dan kembali dengan membawa ilmu serta pengalaman yang lebih luas.

“Pengalaman yang diperoleh graduan sepanjang pengajian di luar negara dapat membantu memperluas perspektif serta mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-62 Persatuan Graduan Taiwan Sarawak, semalam.

Katanya, usaha memelihara warisan budaya juga perlu diteruskan supaya generasi muda memahami asal usul budaya masing-masing, di samping membentuk pemikiran yang lebih terbuka.

DATO’ Sri Huang Tiong Sii memotong kek bersama yang lain sebagai tanda perasmian Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-62 Persatuan Graduan Taiwan Sarawak. Foto: Pusat Khidmat Parlimen Sarikei

Beliau turut menekankan kepentingan persatuan tersebut sebagai wadah yang menghubungkan pelbagai generasi graduan serta memastikan pengetahuan dan nilai budaya dapat dikongsi secara berterusan.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kerajaan Sarawak atas sokongan berterusan terhadap pembangunan pendidikan dan kebudayaan.

Menurutnya, sokongan tersebut telah membuka lebih banyak peluang kepada anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian ke luar negara, sekali gus memperoleh pendedahan dan pengalaman dalam persekitaran pendidikan yang berbeza.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada barisan jawatankuasa terdahulu atas sumbangan mereka dalam mengeratkan hubungan sesama ahli dan meneruskan usaha memelihara warisan budaya sepanjang 62 tahun penubuhan persatuan.

Sebagai tanda sokongan terhadap usaha berkenaan, Huang mengumumkan peruntukan sebanyak RM15,000 bagi membantu persatuan melaksanakan aktiviti yang dirancang.

Sumbangan tersebut diharap dapat menyokong kesinambungan program persatuan, khususnya aktiviti yang menggalakkan perkongsian pengetahuan, hubungan antara ahli dan pemeliharaan warisan budaya.

Oleh Earl Anek