SIBU, 1 November: Keperluan sekolah luar bandar, kebajikan guru dan keselamatan prasarana sekolah antara isu pendidikan yang terus diberi perhatian Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
Beliau berkata, perkara itu dibangkitkan di Dewan Rakyat bagi memastikan keperluan sektor pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar, mendapat perhatian sewajarnya.
Menurutnya, kebajikan guru, keselamatan prasarana sekolah serta penambahan kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) turut dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.

“Perhatian dan tindakan susulan terhadap isu berkenaan penting bagi memastikan anak-anak di kawasan luar bandar turut mendapat peluang menikmati pendidikan berkualiti,” ujarnya.
Perkara itu dikongsikan beliau ketika menghadiri Jamuan Makan Malam 2026 SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Normah Daro bersama warga pendidik dan anggota kumpulan pelaksana sekolah berkenaan.
Majlis berkenaan turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara pihak sekolah, warga pendidik dan tetamu jemputan.
Turut hadir ialah Dr Suhaili Jaya dari Institut Aminuddin Baki (IAB) dan Pengarah Urusan BMCT Holdings Berhad, Mohamad Mohadiruddin Semain.
Oleh Akun Giman





