Naik taraf parit setempat tidak mencukupi tangani banjir kilat di Bintulu

Facebook
WhatsApp
JOSEPH Tie (kiri) bersama penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Mong ketika membangkitkan isu banjir kilat dan keperluan penambahbaikan sistem perparitan di Bintulu.

BINTULU, 1 November: Penambahbaikan sistem perparitan secara setempat tidak mencukupi untuk menangani masalah banjir kilat di Bintulu, sebaliknya memerlukan penyelesaian menyeluruh melibatkan sistem saliran utama bagi memastikan aliran air lebih lancar.

Penduduk, Joseph Tie berkata, kejadian banjir berulang, khususnya apabila hujan lebat berlaku serentak dengan air pasang, menunjukkan keperluan untuk menilai semula keupayaan sistem saliran sedia ada dalam menampung aliran air.

Menurutnya, kediamannya mula mengalami masalah limpahan air sejak 2015, dengan keadaan semakin ketara antara 2022 hingga 2025 apabila air hujan melimpah masuk ke dalam rumah setiap kali hujan lebat bertembung dengan air pasang.

Beberapa usaha penambahbaikan telah dilaksanakan di kawasan kediamannya, termasuk menaik taraf parit di hadapan rumah dengan memperlebarnya daripada 320 milimeter kepada 930 milimeter serta meningkatkan kedalaman daripada 340 milimeter kepada 850 milimeter.

“Bagaimanapun, kejadian banjir malam tadi membuktikan bahawa pembesaran parit secara individu di kawasan setempat sahaja tidak lagi mencukupi.

“Apabila saliran utama terhalang atau mengalami aliran balik akibat air pasang, parit yang luas dan dalam sekalipun tetap akan melimpah,” katanya kepada pihak media di Restoran Dinnerworld di sini, semalam.

Sehubungan itu, Joseph berharap pihak Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) memberikan perhatian serius terhadap penyelenggaraan infrastruktur saliran serta merangka pelan tindakan bersepadu bagi menangani masalah banjir secara menyeluruh.

Dalam pada itu, penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Mong turut menggesa BDA dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) menjalankan pemeriksaan menyeluruh di kawasan berisiko banjir, termasuk meneliti keadaan parit, saluran keluar air, kemungkinan halangan dan kesan air pasang.

Beliau berkata, projek saliran yang telah siap atau sedang dilaksanakan juga perlu dinilai semula bagi memastikan keberkesanannya dalam mengurangkan risiko banjir.

“Air yang telah surut tidak bermakna masalah sudah selesai.

“Selagi penduduk masih berdepan masalah limpahan air, kita bertanggungjawab untuk terus mencari punca, menilai kelemahan dan mengusahakan penambahbaikan,” katanya.

Johnny Pang berkata beliau akan terus mendesak pihak berkaitan memberikan penjelasan serta mengambil tindakan terhadap kelemahan sistem saliran, khususnya di kawasan yang dikenal pasti kerap dilanda banjir.

Tegasnya, masalah banjir di Bintulu memerlukan tindakan berterusan dan tidak boleh diselesaikan dalam tempoh singkat.

Oleh Carolyne Utih