29 pertubuhan terima peruntukan MRP, Huang tekankan manfaat kepada masyarakat

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato' Sri Huang Tiong Sii menyerahkan peruntukan MRP kepada penerima. Foto Pusat Khidmat Parlimen Sarikei

SARIKEI, 1 November: Sebanyak 29 pertubuhan, persatuan dan jawatankuasa menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi memperkukuh pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan serta membantu pembangunan organisasi masing-masing.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, peruntukan itu diharap dapat membantu penerima mengembangkan kegiatan mereka.

Katanya, bantuan tersebut mencerminkan usaha berterusan untuk memastikan keperluan pelbagai lapisan masyarakat mendapat perhatian tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Penyerahan peruntukan ini membuktikan komitmen kami yang berterusan untuk memastikan keperluan masyarakat sentiasa diberi perhatian dan tidak berhenti sekadar sebagai perancangan.

“Setiap janji kepada rakyat akan terus diusahakan sehingga dapat direalisasikan, mengikut keperluan dan kemampuan yang ada,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek MRP bagi kawasan Sarikei di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sarikei kelmarin.

Katanya, pemberian peruntukan kepada pertubuhan tempatan merupakan antara pendekatan untuk menyokong penganjuran program yang dapat meningkatkan penglibatan masyarakat dalam pelbagai bidang.

Beliau turut menegaskan bahawa peluang mendapatkan bantuan diberikan secara saksama kepada semua pertubuhan tanpa mengira kaum dan agama.

Dalam perkembangan berkaitan, Huang merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas kepimpinan beliau dalam memperkasa pembangunan dan memenuhi keperluan rakyat di seluruh Sarawak.

Katanya, pembangunan infrastruktur termasuk pembinaan Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang Tuanku Othman memainkan peranan penting dalam meningkatkan hubungan antara kawasan dan membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

“Kemudahan perhubungan yang lebih baik juga dapat melancarkan pergerakan penduduk, memudahkan urusan harian dan menyokong perkembangan kegiatan ekonomi tempatan,” katanya.

Antara penerima peruntukan MRP tersebut ialah Persatuan Klan Yek, Kelab Sukan Rekreasi Uni dan Junior Chamber International (JCI) Sarikei.

Oleh Earl Anek