Batang Lupar 2 jadi jambatan mega ke-14 siap dibina di Sarawak, mula dibuka kepada orang ramai

Facebook
WhatsApp
JAMBATAN Batang Lupar 2 mula dibuka kepada orang awam petang ini. Foto Adi Safarman

SIMANGGANG, 31 Oktober: Jambatan Batang Lupar 2 bernilai RM223.633 juta dibuka kepada orang awam mulai hari ini, sekali gus mencatat satu lagi detik bersejarah dalam pembangunan infrastruktur Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembukaan jambatan berkenaan bukan sekadar menyediakan laluan baharu merentasi Batang Lupar, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan Jalan Utama Kedua Sarawak serta membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pelancongan di kawasan Betong dan Sri Aman.

Beliau berkata, jambatan sepanjang 870 meter itu merupakan jambatan ke-14 yang siap daripada keseluruhan 22 jambatan mega yang dirancang kerajaan Sarawak.

“Ini merupakan satu peristiwa yang cukup bersejarah di Sri Aman. Mulai hari ini, Jambatan Batang Lupar 2 akan dibuka kepada orang awam.

“Kita berbangga kerana jambatan ini merupakan jambatan ke-14 yang telah siap daripada 22 jambatan yang akan dibina di seluruh Sarawak,” katanya pada sidang media Majlis Pra-Pelancaran Jambatan Batang Lupar 2, dekat sini, petang ini.

Menurut Uggah, pembinaan 22 jambatan dengan kos keseluruhan hampir RM7 bilion menggunakan dana kerajaan Sarawak sendiri merupakan antara usaha besar Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam memastikan pembangunan infrastruktur dapat dinikmati rakyat di seluruh negeri, khususnya di kawasan luar bandar.

DATUK Amar Douglas Uggah Embas bercakap kepada media pada Majlis Pra-Pelancaran Jambatan Batang Lupar 2 yang turut dibuka kepada orang ramai, mulai hari ini. Foto: Adi Safarman

Katanya, rakyat Sarawak wajar menghargai usaha berkenaan kerana pembangunan jaringan jalan raya dan jambatan penting bagi memastikan pergerakan rakyat, kegiatan ekonomi serta kehidupan masyarakat dapat berjalan dengan lebih lancar.

Jambatan Batang Lupar 2 dibina menggunakan reka bentuk cable-stayed atau kabel penahan, dengan dua menara utama setinggi 145.5 meter setiap satu, menjadikannya antara jambatan ikonik di Sarawak.

Struktur berkenaan mempunyai rentang utama sepanjang 450 meter serta laluan pelayaran selebar 200 meter pada ketinggian 23 meter bagi membolehkan pergerakan kapal di Batang Lupar.

Projek itu turut merangkumi pembinaan jalan akses sepanjang 2.08 kilometer, lengkap dengan sistem saliran, papan tanda dan kemudahan keselamatan jalan raya mengikut piawaian JKR R5.

Uggah berkata, Sungai Batang Lupar kini mempunyai dua jambatan utama yang menjadi kebanggaan Sarawak, iaitu Jambatan Batang Lupar 1 sepanjang 4.844 kilometer yang merupakan jambatan terpanjang merentasi sungai di Malaysia, manakala Jambatan Batang Lupar 2 pula menampilkan menara jambatan kabel setinggi 145.5 meter.

Beliau turut memaklumkan bahawa pembukaan Jambatan Batang Lupar 2 akan meningkatkan kesalinghubungan laluan Betong-Sri Aman dengan perjalanan yang kini boleh mengambil masa kira-kira 25 minit.

“Selain itu, akses ke Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling Spaoh juga menjadi lebih mudah dengan perjalanan dari jambatan berkenaan dianggarkan sekitar 30 minit,” katanya.

Menurutnya, pembangunan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Spaoh turut membuka peluang besar kepada pengusaha tempatan untuk mengembangkan pemasaran produk makanan dan pertanian.

DATUK Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Pra-Pelancaran Jambatan Batang Lupar 2 yang turut dibuka kepada orang ramai, mulai hari ini. Foto: Adi Safarman

Katanya, kemudahan itu akan membolehkan produk tempatan dikumpulkan, diproses dan dibungkus sebelum dipasarkan, termasuk berpotensi dihantar terus ke Kuching.

“Kita yakin kemudahan infrastruktur dan pusat pemprosesan berkenaan mampu merancakkan aktiviti ekonomi setempat, selain membuka peluang lebih luas dalam sektor pelancongan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pembukaan Jambatan Batang Paloh kepada orang awam semalam turut membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam mempercepat pembangunan rangkaian jambatan di negeri ini.

Uggah menegaskan, pembinaan 22 jambatan berkenaan merupakan impian dan perancangan jangka panjang Premier Sarawak yang dirangka sejak kira-kira 10 tahun lalu, dan kini semakin menampakkan hasil demi manfaat rakyat.

“Pembukaan Jambatan Batang Lupar 2 bukan sekadar menghubungkan dua kawasan, tetapi membuka lembaran baharu pembangunan ekonomi, pelancongan dan kesejahteraan rakyat Sarawak,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Felicia Tan, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris.

Oleh Adi Safarman