MIRI, 30 Oktober: Dua lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki mencuri kabel tembaga milik Telekom Malaysia (TM) sepanjang kira-kira 150 meter di Jalan Kuala Baram By Pass, di sini, hari ini.
Kedua-dua suspek berusia 34 dan 32 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menerusi Ops Lusuh kira-kira 12.20 tengah hari.

Polis Daerah Miri menerusi hantaran di Facebook berkata, tangkapan dilakukan di sebuah premis di Lorong 5-1, Kuala Baram Land District, hasil maklumat dan risikan pihak polis.
“Polis turut merampas sebuah beg berwarna hitam yang mengandungi bungkusan plastik berisi tembaga dipercayai milik TM serta sebilah parang tanpa hulu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan,” menurut hantaran itu.
Terdahulu, kejadian kabel dicuri disedari selepas seorang juruteknik TM menjalankan pemeriksaan di lokasi kira-kira 9.00 pagi dan mendapati kabel tembaga jenis 50 pairs sepanjang kira-kira 150 meter telah dipotong dan dilarikan.
Oleh Liong Chai Ling





