KKM batal notifikasi produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual

Facebook
WhatsApp
PRODUK Beauty Love Skin Essentials Rejuvenating Facial Toner tidak lagi dibenarkan dijual selepas dikesan mengandungi tretinoin dan hidrokuinon.

PUTRAJAYA, 31 Oktober: Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi produk kosmetik Beauty Love Skin Essentials Rejuvenating Facial Toner selepas dikesan mengandungi racun berjadual dan tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan produk berkenaan didapati mengandungi tretinoin dan hidrokuinon, justeru notifikasi kosmetik berkenaan dibatalkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi KKM.

Produk yang mengandungi bahan itu diklasifikasikan sebagai ubat dan perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum boleh dipasarkan.

“Ubat yang mengandungi tretinoin dan hidrokuinon hanya boleh digunakan atas nasihat dan pemantauan ahli profesional kesihatan,” menurut kenyataan itu.

Menurut KKM, penggunaan ubat berkenaan tanpa pengawasan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti perubahan warna kulit dan kulit menjadi hipersensitif.

KKM memaklumkan penjual dan pengedar produk terbabit diarah menghentikan penjualan serta-merta kerana melanggar Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya. 

KKM menasihatkan orang awam yang menggunakan kosmetik itu segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang kesan sampingan.

Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my. – Bernama