Kerusi 35 peratus Sabah, Sarawak perlu kelulusan Parlimen – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada sidang media sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sri Aman 2026 di Kompleks Sukan Sri Aman. Foto: Adi Safarman

SIMANGGANG, 31 Oktober: Cadangan meningkatkan perwakilan Sabah dan Sarawak kepada 35 peratus daripada keseluruhan kerusi Dewan Rakyat tidak boleh dilaksanakan secara automatik, sebaliknya perlu melalui proses perundangan serta mendapat kelulusan Parlimen.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata cadangan itu memerlukan penelitian menyeluruh terhadap persempadanan kawasan Parlimen, termasuk jumlah kerusi di Semenanjung Malaysia.

Beliau menjelaskan, sebarang perubahan perlu dibawa ke Parlimen untuk mendapatkan kelulusan sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan mengikut proses yang ditetapkan.

“Kalau mereka menyemak semula keseluruhan kawasan Parlimen termasuk jumlah kerusi di Semenanjung, perkara itu perlu dibawa ke Parlimen untuk kelulusan. 

“Selepas itu, barulah SPR mengambil tindakan mengikut proses yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sri Aman 2026 di Kompleks Sukan Sri Aman, di sini, hari ini.

Menegaskan pendirian Sarawak, Abang Johari berkata kerajaan negeri tetap mahukan perwakilan satu pertiga bagi Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat serta rasional Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, sekiranya pelaksanaan cadangan itu memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan, sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen diperlukan sebelum ia dapat direalisasikan.

Terdahulu, Kerajaan Persekutuan bersetuju secara prinsip terhadap cadangan meningkatkan perwakilan Sabah dan Sarawak kepada 35 peratus kerusi Dewan Rakyat.

Namun pelaksanaannya masih tertakluk kepada penelitian lanjut berdasarkan semangat MA63 serta persetujuan antara Kerajaan Persekutuan dengan kedua-dua negeri.

Oleh Adi Safarman