KOTA SAMARAHAN: Sikap segelintir individu yang tidak peduli dan mengambil mudah terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) menjadi punca kegagalan usaha membendung penularan Covid-19 dalam kalangan penduduk kampung.
Residen Bahagian Samarahan, Ibrahim Lumpu berkata, ia berikutan penduduk kampung kini dilihat kurang memberi perhatian dalam mengamalkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal selain tidak peka dan tidak memahami kepentingan pematuhan SOP berkenaan.
“Jadi ramai dalam kalangan penduduk kampung tidak menggunakan pelitup muka ketika berada di luar rumah, malah ada di antara mereka yang melepak, berkunjung ke rumah jiran dan sebagainya seolah-olah tiada berlaku apa-apa. Disebabkan itulah virus Covid-19 semakin merabak di daerah ini.
“Saya tidak salahkan mereka, mungkin tahap pengetahuan mengenai kesihatan atau pembawaan penyebaran jangkitan Covid-19 masih belum jelas dan disebabkan itu, mereka tidak peka terhadap pematuhan SOP yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Datuk Idris Buang pada Majlis Perasmian Program Kepolisian Komuniti Peringkat Samarahan Bagi Kawasan DUN Muara Tuang di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGTAR) di sini, semalam.
Dalam pada itu, Ibrahim turut menzahirkan kebimbangan berhubung isu tersebut kerana dikhuatiri ia mampu untuk mengagalkan usaha dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan dalam melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau berharap agar pengetahuan yang diperoleh menerusi sesi perkongsian pada Program Kepolisian Komuniti dapat dihayati dan diterapkan dalam kehidupan sebagai usaha membendung penularan jangkitan virus berkenaan.
Malah Ibrahim turut menasihati agar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memainkan peranan masing-masing dengan memantapkan sistem rondaan di kampung selain berani menegur penduduk yang tidak mematuhi arahan SOP dan sebagainya.
“Ini merupakan komitmen kita sendiri dalam memastikan pematuhan SOP dalam kehidupan seharian seperti keluar rumah wajib menggunakan pelitup muka, kalau boleh gunakan dua atau tiga lapisan serta elakkan diri berada di tempat-tempat sesak.
“Sekiranya kita tidak berani menegur jiran dan penduduk kampung yang lain apabila mereka mengadakan majlis perkahwinan, kenduri dan sebagainya melibatkan orang ramai, kita boleh hubungi balai polis berdekatan supaya mereka dapat melakukan penyiasatan terhadap penduduk terbabit,” ujarnya.
Turut hadir, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Bahagian Samarahan, ASP Austin Patrick Angkon, Pegawai Daerah Samarahan, Anuar Da’an dan Ketua Unit Khidmat Pengurusan IPGTAR, Abu Bakar Sham Jamil.
Oleh SYAMIMI HUSNA