Pokok tumbang di kawasan perkuburan Islam, APM Sarikei bertindak

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM Sarikei menjalankan operasi memotong dan membersihkan pokok tumbang di kawasan perkuburan Islam. Foto APM Sarikei

SARIKEI, 31 Oktober: Lima anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarikei digerakkan ke Jalan Haji Karim untuk memotong dan membersihkan pokok tumbang di kawasan perkuburan Islam pada petang semalam.

Kejadian tersebut disedari orang awam yang kemudian menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sarikei bagi mendapatkan bantuan kecemasan.

KERJA memotong dan mengalihkan pokok tumbang dijalankan anggota APM Sarikei bagi memastikan kawasan perkuburan Islam kembali bersih dan selamat. Foto APM Sarikei.

Pegawai Pertahanan Awam Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 3.55 petang selepas pengadu melihat sebatang pokok tumbang di kawasan perkuburan berkenaan.

“Menurut maklumat daripada pengadu, pengadu ternampak pokok tumbang di atas perkuburan Islam.

“Bimbang dengan keselamatan orang awam, pengadu terus menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sarikei untuk meminta bantuan kecemasan,” katanya ketika dihubungi.

ANGGOTA APM Sarikei menjalankan kerja pembersihan sisa pokok tumbang yang menghalang kawasan perkuburan Islam. Foto APM Sarikei.

Shahrol berkata, setibanya di lokasi, pasukan APM Sarikei terus menjalankan operasi bagi memastikan pokok tumbang tersebut dapat dialihkan.

“Pokok tumbang tersebut telah berjaya dipotong dan kawasan sekitar sudah dibersihkan.

“Operasi di lokasi selesai pada 5.10 petang selepas kerja pemotongan dan pembersihan dilaksanakan,” katanya.

Oleh Earl Anek