SAREX26 sasar 808 peserta, tawar hadiah RM50,000

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (tengah) bersama ahli jawatankuasa penganjur Ekspo e-Sukan Sarawak (SAREX26) pada sidang media ekspo berkenaan di Bangunan Baitulmakmur II hari ini. Foto Adele Rissa

PETRA JAYA, 30 Oktober: Ekspo e-Sukan Sarawak 2026 (SAREX26) menyasarkan penyertaan 808 peserta menerusi enam kategori pertandingan dengan jumlah hadiah keseluruhan RM50,000 pada penganjuran edisi keempatnya dari 13 hingga 15 November ini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, seramai 600 peserta telah mendaftar setakat ini dan jumlah itu dijangka meningkat menjelang penganjuran acara berkenaan.

“Saya fikir hanya menunggu masa sebelum jumlah itu mencapai 800 peserta. Saya tidak akan terkejut sekiranya jumlah peserta atau pengunjung yang hadir melebihi sasaran itu,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media Ekspo e-Sukan Sarawak 2026 (SAREX26) di Bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini. 

Menurutnya, SAREX yang memasuki edisi keempat tahun ini mencerminkan perkembangan industri esports yang semakin mendapat perhatian golongan belia, bukan sahaja di Sarawak malah di seluruh dunia.

“Penganjuran ekspo itu bukan sekadar memberi tumpuan kepada pertandingan, malah menjadi platform menghubungkan bidang sukan, belia, pelancongan, teknologi, industri kreatif, keusahawanan dan perniagaan,” ujarnya. 

Enam kategori pertandingan yang ditawarkan ialah PUBG MOBILE Terbuka dengan sasaran 320 peserta atau 64 pasukan, Mobile Legends: Bang Bang Lelaki (192 peserta atau 32 pasukan) dan Mobile Legends: Bang Bang Wanita (72 peserta atau 12 pasukan).

Turut dipertandingkan ialah Racing Simulation Terbuka menggunakan permainan Assetto Corsa dengan sasaran 80 peserta, Tekken 8 Terbuka (64 peserta) dan eFootball Terbuka (80 peserta).

Selain pertandingan, SAREX26 turut menampilkan bengkel e-sukan yang menyasarkan penyertaan 100 peserta bagi memberikan pendedahan berkaitan persediaan dan pengurusan kejohanan, keperluan teknikal, pentadbiran pertandingan, penyiaran serta pengurusan acara.

Bengkel itu akan menampilkan penceramah termasuk Dr Yew Wong Kian, atlet e-sukan Malaysia pertama memenangi pingat emas Sukan SEA pada 2019, serta Naib Presiden II Persekutuan Esports Malaysia, Muhammad Faris Faizal Samsul.

Ekspo itu turut menampilkan forum yang menghimpunkan tokoh industri antarabangsa, termasuk Setiausaha Agung Persekutuan Esports Antarabangsa, Boban Totovski, Pengarah Media persekutuan berkenaan, Laura Elizabeth serta Presiden Persekutuan Esports Asia Tenggara dan Persekutuan Esports Vietnam, Hung Do Viet.

Turut menyertai forum berkenaan ialah Ahli Lembaga Persekutuan Esports Rusia, Konstantin Sukhon, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kin Global, Vincent Chai serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Azlan Sharom.

Pada masa sama, kira-kira 10 ruang pameran disediakan bagi menampilkan perniagaan permainan digital, syarikat teknologi, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan penggiat industri berkaitan.

Abdul Karim berkata, Persatuan Esports Sarawak (SESA) sebelum ini turut menjalinkan hubungan dan kerjasama dengan penggiat industri esports menerusi pelbagai inisiatif pembangunan komuniti tempatan.

“Usaha berkenaan telah merekodkan penyertaan lebih 3,000 individu dari seluruh Sarawak dan pihak penganjur turut menjangkakan sebahagian daripada komuniti itu akan hadir memeriahkan SAREX26,” ujarnya. 

Beliau berharap penganjuran ekspo itu dapat menarik lebih ramai peminat esports dari dalam dan luar Sarawak sekali gus memperkukuh perkembangan industri berkenaan di negeri ini.

Oleh Adele Rissa