DARO, 30 Oktober: Pembukaan Jambatan Batang Paloh hari ini menamatkan penantian panjang penduduk Pulau Bruit yang sekian lama bergantung kepada perkhidmatan feri, sekali gus membuka lembaran baharu dalam aspek perhubungan, ekonomi dan kehidupan masyarakat setempat.
Kemudahan infrastruktur itu bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk ke Daro, Sibu, Sarikei dan kawasan sekitarnya, malah mengakhiri pengalaman berdepan tempoh menunggu yang panjang untuk mendapatkan giliran menaiki feri, khususnya ketika musim perayaan.

Bagi Mohammad Khairuddin Rushdi Ayuphan, pembukaan jambatan berkenaan disambut dengan penuh kegembiraan kerana penantian sekian lama akhirnya menjadi kenyataan, terutama bagi dirinya yang bekerja di Sibu dan perlu pulang ke Daro.
“Pembukaan jambatan ini amat bermakna kerana perjalanan pulang ke Daro menjadi lebih mudah. Malah, saya berpotensi untuk berulang-alik setiap minggu tanpa perlu terlalu memikirkan masa menunggu feri,” katanya kepada Utusan Utusan Sarawak hari ini.
Bagaimanapun, di sebalik kegembiraan itu, beliau mengakui turut berasa sedikit sedih kerana perkhidmatan feri yang sekian lama menjadi sebahagian daripada kehidupan penduduk bakal berakhir, selain menyimpan pelbagai kenangan pahit manis sepanjang menggunakannya.

Antara pengalaman paling sukar yang masih diingatinya ialah terpaksa menunggu sehingga 11 jam untuk mendapatkan giliran menaiki feri bagi pulang ke kampung ketika musim perayaan.
“Namun, di sebalik kesukaran itu, ada juga kenangan manis apabila berpeluang bertemu rakan sekolah, saudara-mara dan kenalan lama ketika menunggu giliran,” katanya.
Beliau berharap pembukaan jambatan itu turut menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Daro, khususnya dalam sektor pertanian, perikanan dan perniagaan kecil, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda agar mereka tidak perlu berhijrah ke bandar lain untuk membina kerjaya.
Harapan terhadap perubahan ekonomi itu turut dikongsi peniaga produk laut, Omar Mohamad Shaid yang melihat kemudahan berkenaan sebagai peluang untuk memperluas pasaran dan memudahkan urusan penghantaran hasil laut kepada pelanggan, khususnya di Sibu.
Menurutnya, bekalan hasil laut yang dijual diperoleh menerusi tangkapan sendiri menggunakan jaring dan pukat, namun urusan penghantaran sebelum ini sering berdepan kekangan pengangkutan serta tempoh menunggu feri yang panjang.

“Kadangkala saya terpaksa menumpang kenderaan orang lain untuk ke Sibu bagi menghantar barangan pesanan pelanggan. Keadaan itu bukan sahaja melambatkan penghantaran, malah turut melibatkan kos pengangkutan.
“Alhamdulillah, dengan pembukaan jambatan ini, urusan penghantaran barang menjadi lebih mudah dan cepat, sekali gus memberi peluang kepada saya untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.
Beliau turut berharap kemudahan itu dapat menarik lebih ramai pengunjung dari luar untuk datang ke Pulau Bruit dan mengenali hasil tangkapan nelayan tempatan, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap produk laut yang diusahakan penduduk.
Sehubungan itu, kedua-dua penduduk berkenaan berharap pembukaan Jambatan Batang Paloh menjadi permulaan kepada pembangunan lebih menyeluruh di kawasan berkenaan, termasuk peningkatan kemudahan asas seperti bekalan air bersih, capaian internet yang stabil serta peluang ekonomi yang lebih luas untuk masyarakat setempat.
Oleh Tarani Lanting





