BAU, 29 Oktober: Polis sedang menyiasat penemuan sebuah kamera papan pemuka (dashcam) yang disembunyikan di bawah sinki tandas wanita di Premier Food Republic, Tasik Biru, Bau, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, polis menerima laporan kira-kira 1.50 petang daripada seorang wanita berusia 42 tahun yang menemui peranti itu ketika menggunakan tandas berkenaan kira-kira 11.00 pagi.
“Pengadu terdengar bunyi bip berulang kali di dalam tandas. Berasa curiga, beliau mencari punca bunyi itu sebelum menemui objek kecil berwarna hitam menyerupai kamera papan pemuka di bawah sinki,” katanya.
Wanita itu kemudian memaklumkan perkara berkenaan kepada pengurus premis sebelum mereka berdua pergi ke Balai Polis Bau untuk membuat laporan.
Polis merampas peranti berkenaan, iaitu kamera papan pemuka jenama EZVIZ yang dilengkapi kad memori Kingston berkapasiti 64GB.
Mohd Haide berkata, setakat ini tiada saksi tampil untuk mengenal pasti individu yang meletakkan peranti itu di dalam tandas berkenaan.
Polis telah mengambil keterangan daripada pengadu dan pengurus premis, manakala pegawai penyiasat turut mengunjungi lokasi kejadian serta mengambil gambar bagi tujuan siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan, perkataan atau isyarat yang bertujuan mengaibkan kehormatan seseorang.
Polis sedang berusaha mengenal pasti dan mengesan suspek. Siasatan masih diteruskan.




