SIBU, 29 Oktober: Ketua-ketua kaum (Tuai Rumah) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.61 Pelagus menyatakan sokongan penuh terhadap pencalonan semula penyandang kerusi berkenaan, Wilson Nyabong Ijang sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Jurucakap ketua-ketua kaum DUN Pelagus, Tuai Rumah Roy William Ubu berkata, sokongan itu dibuat atas dasar keyakinan terhadap kepimpinan Wilson serta komitmen beliau dalam membawa pembangunan dan memperjuangkan kepentingan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurutnya, sepanjang tempoh perkhidmatan Wilson sebagai wakil rakyat, pelbagai usaha dan inisiatif pembangunan telah dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur asas, jaringan perhubungan serta kesejahteraan masyarakat setempat.
“Kami amat menghargai segala khidmat bakti, komitmen dan usaha berterusan beliau dalam membawa pembangunan serta memberikan perhatian terhadap keperluan masyarakat di peringkat akar umbi.
“Sehubungan itu, kami menyatakan sokongan penuh terhadap Wilson untuk dicalonkan semula sebagai calon GPS bagi DUN Pelagus pada PRN Sarawak akan datang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Roy yang juga Naib Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Pelagus berkata, sokongan itu turut berasaskan hasrat masyarakat untuk melihat kesinambungan agenda pembangunan yang telah dirancang dan sedang dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Katanya, kesinambungan kepimpinan dan dasar pembangunan amat penting, terutama bagi kawasan pedalaman seperti Pelagus yang masih memerlukan perhatian serta pelaksanaan projek pembangunan secara berterusan.
“Projek-projek yang telah dirancang dan sedang dilaksanakan perlu diteruskan agar manfaatnya dapat dinikmati sepenuhnya oleh masyarakat.
“Kami berharap segala usaha pembangunan yang telah dimulakan di DUN Pelagus dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan kawasan ini,” katanya.
Roy turut menekankan kepentingan mengekalkan semangat kerjasama, persefahaman dan kesepakatan antara semua wakil rakyat di Bahagian Kapit.
Menurutnya, hubungan kerjasama erat antara kepimpinan politik di peringkat Parlimen dan DUN merupakan elemen penting bagi memastikan agenda pembangunan di seluruh Bahagian Kapit dapat dilaksanakan secara tersusun, menyeluruh dan berkesan.
Beliau berkata, kepentingan rakyat perlu sentiasa menjadi keutamaan tanpa mengira perbezaan pandangan atau kepentingan politik.
“Semangat muafakat antara wakil rakyat, agensi kerajaan, kepimpinan masyarakat dan seluruh lapisan rakyat perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan segala pembangunan yang dirancang dapat direalisasikan.
“Kami percaya kerjasama dan perpaduan yang kukuh mampu memastikan pembangunan di Pelagus serta Bahagian Kapit secara keseluruhannya terus bergerak maju,” katanya.
Beliau sekali lagi menegaskan pendirian ketua-ketua kaum DUN Pelagus untuk memberikan sokongan penuh terhadap pencalonan semula Wilson sebagai calon GPS bagi mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN Sarawak akan datang.
Oleh Akun Giman




