BETONG, 29 Oktober: Pasukan Robotik Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Betong melakar kejayaan membanggakan apabila muncul naib johan kategori Open – Puck Collector pada Pertandingan Dunia Robotik (WRC) 2026 yang berlangsung di Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), Shah Alam, pada 24 hingga 25 Oktober lalu.
Kejayaan itu membuktikan kemampuan pelajar MRSM Betong dalam bidang robotik, sekali gus menyerlahkan kreativiti, kemahiran teknikal dan inovasi yang diterapkan menerusi penyertaan dalam pertandingan berkenaan.
Menurut kenyataan MRSM Betong, kejayaan tersebut turut membolehkan pasukan berkenaan membawa pulang pingat dan sijil penghargaan, selain menerima jemputan untuk menyertai WRC 2027 di Beijing, China.
Pasukan berkenaan dianggotai Muhammad Nazrin Fazrien Azri, Abang Akim Fahmi Abang Mulana dan Muhammad Hasif Osman, dengan bimbingan guru pengiring merangkap pembimbing, Syed Adib Wan Ali.
Pihak MRSM Betong turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan maktab atas sokongan dari segi peruntukan dan perancangan, selain staf pentadbiran, para pemandu, barisan jurulatih robotik serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan penyertaan pasukan itu.
Kejayaan tersebut menjadi pemangkin kepada usaha berterusan pasukan berkenaan untuk memperkukuh keupayaan dalam bidang robotik, khususnya menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Menurut MRSM Betong, usaha penambahbaikan akan diteruskan bagi meningkatkan fungsi serta keupayaan robot yang dikenali sebagai Robot Bujang Senang, sebagai persediaan menghadapi pertandingan akan datang.
“Robot Bujang Senang akan mengngap lagi,” menurut kenyataan itu yang menggambarkan semangat pasukan untuk terus mencabar kemampuan sendiri dan memburu kejayaan lebih besar pada masa hadapan.
Pada masa sama, MRSM Betong turut mengalu-alukan penyertaan pelajar baharu dalam pasukan robotik pada tahun hadapan bagi menyumbang idea segar, kreativiti dan inovasi.
Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama MRSM Betong, malah membuka peluang kepada pelajar untuk mengembangkan potensi dalam bidang teknologi dan robotik di peringkat antarabangsa.
Oleh Adi Safarman





