KUCHING, 29 Oktober: Kualiti udara di kebanyakan kawasan di Sarawak kekal pada tahap baik setakat 12.00 tengah hari ini, manakala beberapa kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sederhana.
Samalaju mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 68, diikuti Sri Aman, Miri, Lundu dan Lawas yang masing-masing merekodkan bacaan 55.
Lubok Antu turut merekodkan bacaan pada tahap sederhana iaitu 52, manakala kawasan lain mencatatkan bacaan IPU pada tahap baik.
Antara kawasan yang mencatatkan bacaan terendah ialah Belaga dengan 31, diikuti Sibu (33), Kanowit (35) dan Samarahan (37).
Kuching, Serian dan Betong masing-masing merekodkan bacaan IPU 50.
Berdasarkan klasifikasi IPU, bacaan antara sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, manakala bacaan antara 51 hingga 100 berada pada tahap sederhana.
Oleh Afiq Sallehi





