Kata Ditulis, Jiwa Dieja

Facebook
WhatsApp

GUMPALAN kata yang ditulis dalam sesebuah sajak merupakan bingkisan suara hati insan yang lirih. Seolah-olah ada resah yang mahu keluar daripada persembunyian nuraninya bagi menyampaikan suatu pesan atau mencatat sebuah peristiwa agar tidak lenyap oleh waktu.

Dengan harapan agar ada sesiapa yang mahu mengenali, memahami dan menyelami ruang paling dalam daripada perasaan, trauma, hasrat atau cinta yang sering kali sulit diungkapkan secara langsung.

Menulis sajak seolah-olah    menjadi jambatan kecil untuk meniti isi hati dan jiwa seseorang. Karya sajak merupakan wadah yang mengungkapkan lisan individu yang sering kali dieja dengan sangat jujur melalui larikan pena kata yang sarat makna.

Selain itu, menulis sajak juga merupakan sebuah proses kreatif yang menjalari nurani, pemikiran dan keindahan bahasa menjadi satu kesatuan yang bernadi. Ungkapan sajak bukan sekadar menyusun kata-kata berirama.

Ia merupakan seni batin dalam membingkai momen, menelusuri emosi terdalam dan menterjemahkan hakikat kehidupan yang sering gagal diungkapkan melalui percakapan biasa. Bagi penulis, sajak Ialah untaian kebebasan untuk menyuarakan apa-apa yang tersirat dalam dirinya.

Terdapat beberapa unsur utama yang membentuk kekuatan makna dalam sajak. Misalnya:

  • Kejujuran emosi: Sajak yang indah lahir daripada rasa yang tulus, sama ada kegembiraan, kesedihan, mahupun kegelisahan individu.
  • Kekuatan kata: Pemilihan kata (diksi) yang sesuai dan puitis memberi impak yang mendalam kepada jiwa pembaca.
  • Metafora dan citra: Menggunakan alam atau benda sekeliling sebagai kiasan untuk menyampaikan makna tersirat.
  • Ritma dan irama: Permainan bunyi yang dihasilkan melalui susunan kata yang memberikan “denyut nadi” kepada pembacaan sajak.
  •  

Sasterawan Negara A. Samad Said menanggapi sajak sebagai refleksi kehidupan dan alat untuk merakam perubahan zaman. Bagi beliau, karya sajak mesti mencabar pemikiran pembaca dan merakam realiti sosial. Misalnya, “Sajak yang baik ialah sajak yang mampu menggetarkan jiwa pembaca, membuat mereka berfikir, dan membawa mereka merenung hakikat kewujudan diri serta masyarakat sekitar.”

Manakala Sasterawan Negara Usman Awang pula menyifatkan sajak sebagai suara hati yang jujur dan jambatan kemanusiaan. Justeru, penulisan sajak harus berasaskan kejujuran emosi demi menyatukan manusia. Misalnya, “Puisi itu ialah suara hati penulisnya yang paling jujur. Ia tidak dicipta untuk mengelirukan, tetapi untuk menyatukan rasa kemanusiaan antara insan.”

Oleh itu, syabas kepada penulis-penulis muda seperti Hafiz Mustapha, Nich dan Mohd Noor Asa’a kerana sajak mereka telah disiarkan dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera (WBS), akhbar Utusan Sarawak pada hari Khamis yang lepas. Mudah-mudahan segala persoalan yang dinukilkan dalam sajak akan mengungkapkan sesuatu kepada jiwa pembacanya.

Sajak-sajak yang ditulis oleh mereka seolah-olah menyirat kata, menyurat jiwa yang manusiawi. Justeru, ketiga-tiga buah sajak yang disiarkan menanggapi soal perasaan dan pemikiran yang menggugah sebagai sebuah pencerahan pengalaman serta pengamatan kendiri. Semua sajak tersebut seperti berusaha menembusi denai kabut kehidupan yang ada. Mudah-mudahan kata hati dan pemikiran tersebut dapat mengeja sesuatu ke jiwa pembacanya.

Sajak “Setahun Lagi Aku Menua” oleh Hafiz Mustapha bertemakan peralihan usia dan pandangan hidup yang manusiawi. Sajak ini disarati persoalan diri yang baik dan jujur pada kehidupan yang sedang dijalani. Dalam rangkap awal sajak, penulis mengungkapkan fasa-fasa kesedaran semula jadi dalam dirinya selaku insan yang menulis kata, mengeja jiwa. Misalnya dalam rangkap-rangkap berikut;

Hari ini

setahun lagi aku menua

namun hayat makin berkurang

kerana dengan tahun menambah 

makin dekatlah aku dan pulang. 

dan cermin pun bercerita hikayat tua

rambut yang makin putih

gigi yang kian hilang

kedut yang jelas berkerut.

(rangkap 1 hingga 2, sajak “Setahun Lagi Aku Menua “)

Menerusi rangkap seterusnya, penulis menolak keraian pesta untuk menyambut ulang tahun hari lahirnya. Justeru penulis khuatir dengan sisa usia yang ada. Misalnya;

Aku tidak mahu pesta

kek mega atau lilin dan nyala

cukuplah doa dan sebingkis maaf

kerana tidak terjangkau arif

berapa kali lagi pagikah yang bakal menjengah

petang yang sempat membahang

malam yang sudi kelam.

(rangkap 4, sajak “Setahun Lagi Aku Menua”)

Manakala dalam rangkap akhir sajak, penulis menyurat hasratnya agar apabila tiba maut menjemputnya kelak, biarlah segala hutang dunia sempat dilunaskan tanpa baki dan segala amal ibadahnya diterima demi menjamin kehidupannya yang abadi kelak.

Sajak ini berbentuk bebas dan dibina dalam empat buah rangkap yang sederhana panjangnya. Gaya bahasa sajak ini biasa dan kata yang digunakan agak langsung seperti sebuah naratif. Oleh itu, pemilihan kata dalam sajak ini masih memerlukan penelitian kerana penggunaan unsur-unsur persajakan seperti simile, perlambangan, personifikasi, metafora dan lain-lainnya masih perlu diolah bagi memperkukuh tamsilan dan ungkapan agar lebih menyerlah dan indah.

Apabila menulis sajak yang peka pada perasaan, sebaik-baiknya ungkapan kata diolah dengan berkias madah. Pernyataan yang langsung kurang memberi keindahan pada pengolahan sajak yang tersirat sifatnya.

Seperti yang difahamkan oleh Chairil Anwar, pelopor Angkatan ’45 Indonesia, menulis sajak ialah sebuah perjuangan hidup mati dan luahan kebebasan mutlak seorang manusia.

Justeru tulisan yang ditinggalkan merupakan suatu tanda kekal bahawa penulisnya pernah ada di dunia fana ini. Misalnya: “Menulis puisi ialah cara kita menolak untuk mati, cara kita mengekalkan roh dan semangat kebebasan dalam setiap bait kata.”

Walau bagaimanapun, sajak ini mempunyai pesan moral yang baik kerana menuntun pembaca untuk menyedari hakikat makna kehidupan individu di dunia fana ini. Selain meraikan keberkatan usia yang lanjut, individu perlu sedar hakikat kehidupannya yang abadi kelak. Terutamanya berkaitan amalan hidup di dunia yang boleh menjamin kesejahteraan hidupnya di alam abadi kelak.

Sajak “Mimpi” oleh Nich pula bertemakan impian dan harapan yang manusiawi. Dari rangkap ke rangkap sajak, penulis membicarakan hasratnya yang peribadi. Seperti sajak sebelumnya, penulis juga perlu lebih matang dalam mengendalikan emosi naratifnya agar kata yang ditulis, jiwanya dieja. Misalnya;

Bermimpi itu mudah

Tidak perlu katil mewah

Bantal empuk dan lembut

Selimut tebal pun tidak usah

Yakinkah engkau bermimpi indah?

(rangkap 1, sajak “Mimpi”)

Manakala dalam baris sajak berikutnya, penulis cuba mentafsir mimpi yang kurang jelas seperti biasanya. Mimpi yang tidak jelas menjadikan penulis tidak keruan memikirkannya. Padahal mimpi yang dialami penulis sangat manusiawi semasa tidurnya. Misalnya;

Mimpi itu anugerah

Terkadang sukar ditafsir

Lena dan terjaga jadi mainan

Menjadi igauan setiap insan

Siang dan malam tidak keruan

 (rangkap 2, sajak “Mimpi”)

Pada rangkap akhir sajak pula, penulis menyimpulkan bahawa mimpi-mimpi yang dialami tanpa bayaran tersebut merupakan harapan peribadi yang meyakinkan selagi mahu mempercayainya tanpa konsekuensi. Misalnya;

Mimpi itu percuma

Tidak perlu wang ringgit berjuta

Asal harapan terus bernyala

Bahagia dikecap buat insan yang tidak leka

 (rangkap 3, sajak “Mimpi”)

Pemilihan kata dalam sajak ini biasa dan agak langsung. Malah terdapat beberapa pernyataan baris sajak yang masih perlu dimurnikan bagi mengungkapkan persoalan sajak yang tuntas pemaknaannya. Sajak ini juga berbentuk bebas dan dibina daripada tiga buah rangkap yang ringkas.

Gaya bahasa sajak masih memerlukan penelitian yang lebih rinci agar penyampaian ungkapan lebih terampil dan menggugah maknanya. Penulis perlu banyak membaca dan memahami karya sajak penulis mapan yang digemarinya agar olahan sajaknya kelak lebih tersirat dalam menyurat jiwanya yang tulus.

Sapardi Djoko Damono, penyair legenda Indonesia mengungkapkan tentang proses kreatif sajak seperti berikut:

“Menulis puisi itu seperti menangkap udara. Anda tahu ia ada di sana, tetapi anda memerlukan kepekaan yang tinggi untuk membentuknya menjadi kata-kata yang boleh dinikmati oleh orang lain.”

Dalam maksud lain, proses menulis sajak itu memerlukan sensitiviti tinggi untuk menzahirkan perkara abstrak yang subjektif sifatnya.

Terakhirnya ialah sajak “Langit di Mata Ibu” oleh Mohd Noor Asa’a, sebuah sajak yang bertemakan pengorbanan ibu. Pada keseluruhan rangkap sajak, penulis hanya bertamsil tentang persoalan-persoalan yang dikaitkan dengan individu yang dipanggil ibu. Misalnya;

Ibu, pelita di jendela malam

tak pernah padam meski angin

menganyam gelap pada urat waktu.

(rangkap 1, sajak “Langit di Mata Ibu”)

Dalam rangkap pertama sajak, penulis menggambarkan ibu sebagai cahaya pembimbing (pelita) yang tidak pernah putus asa atau menyerah kalah, biarpun berhadapan dengan cabaran hidup dan usia yang kian meningkat (“meski angin menganyam gelap pada urat waktu”).

Manakala dalam dua buah rangkap seterusnya, penulis menanggapi suara dan sentuhan ibu sebagai pembawa kedamaian. Sentuhan kasih sayang ibu mampu memulihkan jiwa anak yang sedang rapuh atau terluka (“menghijaukan tanah yang retak”), serta memberikan perlindungan ketika anak dalam kesusahan (“menyelimuti musim gigil”). Frasa “seperti daun mengenal batangnya” menunjukkan ikatan fitrah yang sangat kuat antara anak dan ibu.

Menerusi rangkap keempat, penulis menekankan peranan paling utuh dan ampuh yang ibu pernah lakukan. Mata ibu menyimpan seribu satu penderitaan dan ujian hidup (“ombaknya memendam ribut”). Namun, demi masa depan dan keteguhan anak-anaknya, ibu menelan segala kesedihan itu sendirian tanpa pernah mengeluh (“Ibu tidak pernah karam,/hanya menenggelamkan duka”).

Pada baris akhir sajak, penulis memberikan persoalan yang cukup baik untuk keseluruhan makna sajak ini. Ibu ditanggapi sebagai paksi kehidupan. Apabila anak dewasa dan berhadapan dengan kesunyian atau ujian hidup, ingatan kepada ibu menjadi penyelamat. Frasa “langit tetap utuh” bermaksud dunia anak itu tidak runtuh kerana dia tahu dia mempunyai ibu—sebagai tempat kembali, ruang mengadu dan sumber kedamaian mutlak. Misalnya;

Kini, ketika sunyi menekan dinding

aku menyebut namamu

dan langit tetap utuh–

kerana ibu masih pelita

tempat segala yang hilang pulang.

(rangkap 5, sajak “Langit di Mata Ibu”)

Bentuk sajak ini bebas dan dibina daripada lima buah rangkap yang sederhana bagi menyatakan persoalan-persoalan yang ada dalam diri penulis. Gaya bahasa sajak ini masih memerlukan penelitian semula agar makna kata sajak lebih ampuh pada unsur pengolahannya.

Pemilihan kata sajak mudah difahami, dan sesuai dengan keseluruhan persoalan dan naratif dalam sajak ini. Namun begitu, sangat digalakkan agar penulis mahu membaca sajak-sajak penulis mapan yang diminati agar penulis dapat menemukan proses pengolahan sajak yang lebih terampil ungkapannya dan tidak hanya tuntas pada persoalan-persoalannya yang bundar.

Walaupun sajak ini sudah berada pada tahap yang bagus kerana ada kecenderungan penulis mengolah beberapa gaya bahasa yang menarik. Namun demikian, masih terdapat beberapa aspek kecil dari segi pemilihan kata, kesesuaian visual atau imejan bercampur dan pemilihan judul yang boleh dimurnikan agar sajak menjadi lebih indah dan konsisten imej-imej yang dijalinkan.  

Pertembungan citra langit dan laut agak mengganggu imejan yang digarap dalam sajak ini. Judul sajak ialah “Langit di Mata Ibu”, dan judul ini diulang pada rangkap terakhir “dan langit tetap utuh”.

Bagaimanapun, pada rangkap keempat sajak, penulis menyatakan, “Aku melihat laut di matamu; ombaknya memendam ribut.” Persoalan ini mewujudkan kekeliruan visual. Adakah di mata ibu itu ada langit seperti yang diungkap pada tajuk atau laut seperti yang diolah pada rangkap keempat?

Walaupun kedua-duanya saling bertaut, tetapi penukaran imej yang mendadak ini merencatkan tumpuan imejan dalam sajak. Sekadar saranan, penulis boleh menukar imej laut dalam rangkap keempat supaya selari dengan elemen langit, atau kekalkan laut tetapi jalinkan ia dengan langit.

Semoga dengan teguran dan saranan yang ada, penulis dengan mudah memahami apa yang mahu disampaikan dengan berlapang rasa dan tanggapan. Jika kelemahan-kelemahan kecil ini diperbaiki, sajak anda pasti menjadi lebih padat makna dan mempunyai kesatuan imej yang kemas lagi utuh.

Rumusnya, ketiga-tiga buah sajak yang dibicarakan tadi tetap mempunyai tamsilannya yang menarik untuk dikongsikan dengan khalayak pembaca. Penulis telah menyampaikan pesan moral dengan begitu baik dan memberi anjakan pemikiran yang mendewasakan.

Semoga para penulis muda ini terus berani tampil dengan hasil sajak yang memanfaatkan sepenuhnya teknik penulisan sajak yang lebih menyeluruh.

Sesungguhnya, potensi dan ketelusan naluri Hafiz Mustapha, Nich dan Mohd Noor Asa’a dalam menulis sajak wajar diberikan ruang dan peluang yang lebih khusus pendedahannya.

Justeru mereka jelas berkebolehan dalam memperlihatkan nilai kepenyairan diri yang positif. Cuma mereka perlu lebih memahami proses penulisan sajak agar olahan sajak lebih komunikatif dan menarik. Mudah-mudahan sikap positif teguh menjejaki diri ke jalan kritik yang lebih membina dan terbuka. Syabas dan sukses, selalu!

Oleh Rosani Hiplee

Peta untuk Pulang

DI kota asing, musim datang dan pergi tanpa pernah bertanya sama ada Jessica sudah bersedia. Empat tahun yang lalu, dia

Puisi

Setahun Lagi Aku Menua Hari ini setahun lagi aku menua namun hayat makin berkurang kerana dengan tahun menambah  makin dekatlah aku dan pulang.  dan cermin pun bercerita hikayat tua rambut yang makin putih gigi yang kian hilang kedut yang jelas berkerut. Aku tidak mahu pesta kek mega atau lilin dan nyala cukuplah doa dan sebingkis maaf kerana tidak terjangkau arif berapa kali lagi pagikah yang bakal menjengah petang yang sempat membahang malam yang sudi kelam.

Jangan Rampas Padang dan Kenangan Kami

NASKHAH kreatif yang berkisar tentang aktiviti sukan, secara eksplisit memang jarang ditulis. Bahkan ia kelompangan yang perlu diisi, kerana subjek