LAWAS, 28 Oktober: Seorang pekerja ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah stor milik agensi kerajaan di Trusan, di sini.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan dalam kenyataan malam tadi berkata, polis menerima laporan berhubung penemuan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang terbaring di dalam stor agensi kerajaan berkenaan.
“Kita menerima laporan berhubung kejadian itu pada12.03 tengah hari. Siasatan awal mendapati mangsa ditemukan terbaring di dalam stor oleh rakan sekerjanya pada 9.05 pagi.
“Rakan sekerja mangsa kemudian menghubungi rakan sekerja yang lain sebelum membawa mangsa ke Hospital Lawas untuk mendapatkan rawatan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang memeriksanya. Ketika kejadian, mangsa dilaporkan sedang bekerja mengemas stor, manakala rakan sekerjanya berada di luar stor,” katanya.

Tambahnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah terlibat dalam kejadian itu. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menyalurkannya segera kepada pihak polis.
Sementara itu, pada 4.51 petang semalam, polis menerima laporan berhubung kemalangan maut yang melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun di Kilometer 21, Jalan Lawas-Trusan, berhampiran Kampung Long Temarob, Lawas.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 1.20 petang di tapak projek pembinaan yang turut menjadi tempat mangsa bekerja.
Berdasarkan siasatan awal, kejadian itu disedari oleh pemandu jentera selepas dimaklumkan oleh rakannya bahawa mangsa telah terkena roda rantai jentera yang dipandunya.
Pemandu jentera mendapati mangsa terbaring di hujung jentera yang dipandunya sebelum menghubungi penyelia dan membuat laporan polis.
Kes masih dalam siasatan polis dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Oleh Adeng Edrus




