Rizky Febian harap kerjasama industri muzik Malaysia-Indonesia terus diperkukuh

Facebook
WhatsApp
RIZKY Febian berharap kerjasama industri muzik Malaysia-Indonesia terus diperkukuh bagi menyokong perkembangan muzik kedua-dua negara, termasuk menerusi pertukaran pentas konsert dan penglibatan pemuzik.

KUALA LUMPUR, 29 Oktober: Penyanyi popular Indonesia Rizky Febian berharap kerjasama Malaysia dan negaranya dalam industri muzik terus diperkukuh bagi memastikan penggiat dari kedua-dua negara berjiran itu  dapat saling melengkapi.

Pelantun lagu Kesempurnaan Cinta berusia 28 tahun itu berkata pertukaran pentas konsert dan kehadiran pemuzik kedua-dua negara ketika ini merupakan perkembangan positif yang wajar diteruskan.

“Tujuan kita adalah untuk memajukan muzik antara negara. Dari segi pemuzik, kita rasa sangat dihargai apabila datang ke Malaysia. Begitu juga sebaliknya apabila ramai pemuzik Malaysia kini mula datang ke Indonesia.

“Kita gembira melihat kerjasama antara Indonesia dan Malaysia dalam bidang muzik ini saling menyokong. Harapan saya agar perkembangan ini terus memberi impak positif serta kekal bersama-sama melalui konsert dua hala,” katanya kepada pemberita pada sidang media konsert Malam Rawan Diorama by Rizky Febian: Live in Kuala Lumpur, di sini semalam.

Mengulas konsertnya yang dijadualkan berlangsung di Zepp KL pada 29 November ini, bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata persembahan tersebut dirancang dengan konsep segar merangkumi susunan muzik baharu serta segmen interaktif bersama-sama dengan penonton.

“Saya mahu mereka yang datang benar-benar dapat bernostalgia mendengar lagu-lagu saya, terutamanya peminat yang menyokong dari awal pembabitan saya,” katanya yang akan menyampaikan kira-kira 20 lagu pada konsert itu.

Penyanyi itu pernah berkongsi pentas dengan Fabio Asher dan Anggi Marito menerusi konsert Malam 3 Suara di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 14 Disember lepas.- Bernama