LIMBANG, 28 Oktober: Kerajaan Persekutuan membelanjakan lebih RM200 juta setiap tahun bagi memastikan perkhidmatan udara luar bandar (RAS), khususnya di Sarawak, terus beroperasi untuk memenuhi keperluan penduduk di kawasan pedalaman.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, peruntukan tahunan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kesalinghubungan udara kekal terpelihara, terutama bagi masyarakat yang bergantung pada penerbangan sebagai kemudahan pengangkutan penting.
Menurutnya, kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan akan terus memastikan dana yang diperuntukkan disalurkan bagi menjamin kesinambungan operasi perkhidmatan berkenaan.
“Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan komited untuk memastikan RAS ini dapat diperkukuh. Setiap tahun, kita membelanjakan lebih RM200 juta bagi memastikan RAS beroperasi.
“Ini merupakan komitmen jangka panjang yang kita tetapkan. Setiap tahun, kita menerima peruntukan daripada Kementerian Kewangan dan memastikan dana itu disalurkan supaya perkhidmatan udara luar bandar dapat diperkukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Limbang di tapak projek berhampiran Masjid Jannatul Firdaus, Limbang, hari ini.
Dalam pada itu, Anthony berkata syarikat penerbangan yang berminat menambah kekerapan penerbangan atau memperkenalkan laluan terus ke destinasi baharu amat dialu-alukan bagi memperluas pilihan perjalanan udara kepada rakyat.
Katanya, kerajaan turut memberi keutamaan kepada kesinambungan perkhidmatan penerbangan sepanjang proses peralihan pengurusan MASwings daripada Malaysia Aviation Group kepada AirAsia.
Menurutnya, proses peralihan itu berjalan lancar tanpa gangguan terhadap perkhidmatan, sekali gus memastikan keperluan perjalanan udara rakyat terus dipenuhi.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan akan terus memberi perhatian kepada usaha menambah baik kesalinghubungan udara di Sarawak bagi memastikan penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman tidak terpinggir daripada kemudahan pengangkutan berkenaan.
Oleh Adeng Edrus





