KUCHING, 28 Oktober: See Chee How (Bebas – Batu Lintang) mengumumkan keputusannya menyertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), sekali gus menjadi sebahagian daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas 16 tahun berkecimpung dalam politik.
Beliau berkata dalam satu kenyataan hari ini, keputusan itu dibuat selepas pertimbangan mendalam terhadap perjalanan politiknya, khususnya usaha memperjuangkan hak dan kepentingan Sarawak.
“Penyertaan dalam SUPP dan GPS memberi peluang kepadanya untuk menyumbang secara lebih langsung dan berkesan dalam memperjuangkan hak Sarawak, termasuk yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Saya percaya menyertai SUPP dan bekerjasama dalam GPS akan memberi peluang kepada saya untuk menyumbang secara lebih langsung dan berkesan ke arah mencapai matlamat bersama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengakui keputusan berkenaan mungkin menimbulkan persoalan dan kritikan, terutama dalam kalangan mereka yang mengenalinya sebagai wakil pembangkang sepanjang sebahagian besar kerjaya politiknya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan langkah itu bukan bermaksud meninggalkan prinsip perjuangan asalnya, sebaliknya membuka fasa baharu dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
Mengimbas perjalanan politiknya, See Chee How berkata beliau memulakan kerjaya sebagai ADUN Batu Lintang menerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun dipecat selepas pendiriannya yang menuntut autonomi lebih besar untuk PKR Sarawak bercanggah dengan kepimpinan pusat.
Beliau kemudian bertanding atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB) sebelum meninggalkan parti berkenaan kerana tidak lagi sehaluan dengan hala tuju dan pendekatannya.
Beliau seterusnya kekal sebagai ADUN Bebas, termasuk selepas pembubaran PSB dan penyertaan beberapa pemimpinnya dalam gabungan politik lain.
Tambah beliau, pengalaman selama empat tahun sebagai ADUN Bebas turut mempengaruhi keputusan terbaharunya selepas melihat kerjasama dengan kepimpinan kerajaan negeri mampu membawa manfaat kepada rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian atas nasihat, dorongan serta sokongan sepanjang tempoh tersebut.
“Kerjasama itu membolehkan saya membantu komuniti, pertubuhan berdaftar dan individu mendapatkan geran serta bantuan kerajaan bagi melaksanakan pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan di Batu Lintang.
“Saya akan terus memperjuangkan hak, keistimewaan dan kepentingan Sarawak di bawah Perlembagaan Persekutuan serta MA63 melalui kerjasama dalam GPS.
“Saya berharap dapat menyumbangkan pengalaman dalam bidang perundangan, advokasi hak sivil, perundangan negeri dan khidmat kawasan bagi membina Sarawak yang lebih kukuh, makmur, berdikari dan bersatu,” ujarnya.




