300 alat pemadam api akan diagih kepada 100 kampung sekitar Bintulu

Facebook
WhatsApp
PERTUKARAN memorandum persefahaman (MoU) antara The Ranee Sdn Bhd dan Petrosains Sdn Bhd sempena Majlis Peluncuran Program Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (HSE) Komuniti MLNG: CIMAH ITP 2026 di Bintulu, hari ini.

BINTULU, 28 Oktober: Sebanyak 300 alat pemadam api akan diagihkan kepada 100 kampung di sekitar Bintulu, Sebauh dan Tatau bagi meningkatkan tahap keselamatan serta kesiapsiagaan penduduk menghadapi kecemasan, khususnya kebakaran.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kesedaran mengenai keselamatan perlu dipertingkatkan secara berterusan, terutama dalam kalangan penduduk kampung dan rumah panjang.

Beliau berkata, masyarakat perlu mengetahui langkah pencegahan kebakaran serta cara menggunakan peralatan keselamatan dengan betul bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda.

“Pencegahan lebih baik daripada mengubati. Kita perlu mengambil langkah awal untuk mengelakkan sesuatu kejadian daripada berlaku,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (HSE) Komuniti MLNG: CIMAH ITP 2026 di sini, hari ini.

Menurutnya, kebakaran rumah panjang boleh menyebabkan penduduk kehilangan tempat tinggal dan harta benda dalam tempoh singkat, manakala usaha membina semula kediaman memerlukan kos dan masa yang besar.

MAJLIS turut menyaksikan simbolik penyerahan alat pemadam api untuk diagihkan kepada 100 kampung di sekitar Bintulu termasuk Sebauh dan Tatau, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa ketua kaum, tuai rumah dan jawatankuasa keselamatan kampung supaya memastikan penduduk mengetahui prosedur kecemasan, lokasi berkumpul serta laluan keluar yang selamat.

Katanya, penyediaan alat pemadam api perlu disertai pengetahuan mengenai cara penggunaannya supaya peralatan berkenaan dapat digunakan dengan betul ketika berlaku kecemasan.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Malaysia LNG (MLNG), Abang Jimmy Abang Mordian berkata, aspek keselamatan perlu dijadikan amalan harian dan bukan hanya diberi perhatian ketika berlaku kecemasan.

Beliau berkata, pengetahuan yang tepat, latihan berterusan dan tindakan yang betul penting bagi meningkatkan keyakinan masyarakat ketika berhadapan dengan situasi kecemasan.

“Maklumat yang tepat dapat mengurangkan kekeliruan, latihan yang berterusan dapat meningkatkan keyakinan, manakala tindakan yang betul pula dapat menyelamatkan nyawa,” katanya.

RAKAM kenangan pada Majlis Peluncuran Program Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (HSE) Komuniti MLNG: CIMAH ITP 2026 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Bintulu, hari ini.

Menurutnya, masyarakat juga perlu memastikan peralatan elektrik digunakan dengan selamat, bahan mudah terbakar disimpan dengan betul dan laluan keluar sentiasa bebas daripada halangan.

Beliau turut menggalakkan peserta berkongsi pengetahuan yang diperoleh dengan keluarga, jiran dan masyarakat setempat bagi memperluas kesedaran mengenai keselamatan.

Program berkenaan menghimpunkan lebih 400 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk ketua kaum, tuai rumah dan kapitan.

Inisiatif itu mencerminkan kerjasama antara pihak industri, agensi kerajaan dan komuniti dalam memperkukuh budaya keselamatan serta meningkatkan kesiapsiagaan penduduk menghadapi kecemasan.

Oleh Faizah Muzidi