MUKAH, 28 Oktober: “Kami mahu Royston Valentine dikekalkan.”
Demikian ungkapan barisan penghulu yang juga ahli Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Mukah bagi menyatakan sokongan mereka kepada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.57 Tellian, Royston Valentine.
Khidmat Royston Valentine sebelum ini menerima maklum balas positif daripada penduduk setempat, khususnya berhubung perubahan dan pembangunan yang dibawa kepada kampung-kampung di kawasan berkenaan.
Barisan KMKK Mukah berhimpun hari ini bagi menyatakan sokongan terhadap cadangan supaya Royston dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.

Para wartawan turut berpeluang menemubual beberapa ahli KMKK Mukah untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai khidmat dan sumbangan Royston sepanjang beliau menjadi wakil rakyat kawasan Tellian.
Penghulu Kampung Tellian Laut, Besiri Keri berkata perubahan yang dibawakan oleh pentadbiran Royston amat ketara kepada pembangunan kawasan setempat.
“Pentadbiran di bawah beliau telah menjalankan tugas yang begitu baik terutamanya kepada pembangunan yang berlaku di setiap kampung.
“Perkara ini amat memuaskan hati orang kampung kerana beliau sentiasa turun padang untuk berjumpa dengan penduduk kampung yang memerlukan,” katanya.

Tegas Besiri lagi, Royston akan membantu kampung yang memerlukan bantuan dalam apa jua cara sekalipun.
Selaku ketua kampung yang mempunyai kuasa terhadap enam kampung seperti kampung Datuk, Penakub Hilir, Sungai Ragei, Sungai Pegei serta Tutus Hilir, Besiri menyifatkan Royston sebagai wakil rakyat yang bekerja keras demi rakyat dibawah jagaannya.
“Meskipun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah dibubarkan, orang kampung masih memerlukan khidmat beliau pada tempoh yang seterusnya.
“Kalau boleh, semakin lama beliau berkhidmat, semakin elok kerana beliau menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan,” tegasnya lagi.
Sementara itu, Penghulu Ulu Baoh, Sebastian Sintan berkata khidmat Royston sebagai wakil rakyat selama lima tahun dinilai dari segi kecekapannya dalam menguruskan kawasan di Ulu Baoh.

“Banyak pembangunan di kawasan Ulu Baoh dapat dilihat daripada hasil khidmat Royston,” katanya.
Antara sumbangan beliau termasuk pembinaan jalan raya, dewan dan penyediaan kemudahan elektrik untuk penduduk setempat.
Sebastian turut menegaskan harapannya agar Royston dicalonkan semula kerana beliau seorang yang berani dan bertanggungjawab ketika berkhidmat.
Di samping itu, Penghulu Masyarakat Cina Mukah, Henry Lee Liong Ing berkata Royston merupakan seorang pemimpin yang mesra rakyat.
“Beliau sentiasa turun padang untuk melawat kawasan di bawah bidang kuasanya serta sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat di kawasannya,” katanya.
Tambahnya lagi, Royston sentiasa bersama rakyat tanpa mengira bangsa dan agama dalam menjalankan tanggungjawabnya.

“Meskipun Royston masih muda, beliau mempunyai wawasan untuk memajukan kawasan di bawahnya.
“Kita dapat lihat sumbangannya terutama apabila kita menikmati pembangunan di kawasan bandar lebih-lebih lagi dengan adanya projek mega yang akan datang.
“Projek tebing air Mukah dan pasar bersepadu bertingkat amat dialu-alukan oleh penduduk Mukah kerana mampu menjadikan kawasan ini lebih menarik sebagai destinasi pelancongan, selain merancakkan sektor lain,” katanya.
Tegasnya lagi, khidmat Royston yang cemerlang dengan penuh integriti serta dedikasi menjadikan beliau sebagai pilihan rakyat untuk terus dicalonkan semula pada PRN ke-13.
Dalam pada itu, Winnie Wena Dominic Lai selaku Penghulu Tellian Tengah, Tellian Tradisi dan Tellian ulu juga menyatakan harapan agar Royston terus berkhidmat di kawasan N.57.
“Kami memang mempertahankan Royston kerana beliau telah banyak memberi perubahan kepada kawasan kampung Tellian.
“Jalan titian yang banyak dibaik pulih, tidak lupa juga kepada pendidikan kanak-kanak serta amat prihatin kepada rakyat yang sakit,” katanya lagi.
Oleh Adibfahmy




