Pasukan SUPP Bawang Assan santuni 26 isi rumah di Tanjung Kunyit

Facebook
WhatsApp
TURUN PADANG.....Lau bersama pasukan SUPP Cawangan Bawang Assan turun padang mendekati penduduk di Tanjung Kunyit.

SIBU, 28 Oktober: Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie meneruskan kunjungan dari rumah ke rumah di Tanjung Kunyit menerusi inisiatif perkhidmatan bergerak bagi mendengar masalah dan keperluan penduduk setempat.

Lau bersama pasukannya berinteraksi dengan penduduk daripada 26 isi rumah bagi mendapatkan maklum balas mengenai isu yang dihadapi masyarakat di kawasan berkenaan.

Menurutnya, hasil pertemuan secara langsung dan maklum balas penduduk, pihaknya mendapati beberapa masalah setempat menunjukkan perkembangan positif.

INTERAKSI… Kevin Lau Kor Jie mendengar aduan dan pandangan penduduk ketika mengadakan kunjungan dari rumah ke rumah di Tanjung Kunyit, Sibu.

“Antaranya ialah masalah tekanan air rendah yang sekian lama membelenggu penduduk, kini telah berjaya diselesaikan,” jelasnya.

Beliau berkata, penduduk turut membangkitkan masalah jalan berlubang serta isyarat telekomunikasi yang tidak stabil.

“Maklumat berkaitan kerosakan jalan telah dikemukakan kepada pihak yang berkaitan untuk tindakan susulan,” ujarnya.

Katanya, liputan telekomunikasi yang tidak stabil masih menjadi kebimbangan di banyak kawasan kerana menjejaskan komunikasi harian dan keselesaan penduduk.

KHIDMAT KOMUNITI… Kevin Lau Kor Jie bersama pasukannya meneruskan inisiatif perkhidmatan bergerak bagi memantau isu setempat serta menyalurkan aduan penduduk kepada pihak berkaitan.

“Pasukan kami akan terus memantau isu berkenaan,” ujarnya lagi.

Lau menegaskan bahawa khidmat kepada masyarakat memerlukan usaha yang konsisten dan berterusan.

“Hanya dengan memahami keadaan sebenar yang dihadapi penduduk, pasukan kami dapat mengenal pasti keperluan komuniti dengan lebih tepat serta mengusahakan penyelesaian yang praktikal dan bersesuaian,” ujarnya lagi

Oleh Akun Giman