Polis beri amaran selepas wang RM100 disyaki palsu dikesan di Serian

Facebook
WhatsApp
ANTARA ciri keselamatan pada wang kertas tulen yang boleh diperiksa orang ramai bagi mengesan wang palsu.

SERIAN, 28 Oktober: Polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menerima wang tunai susulan penemuan sekeping wang kertas RM100 yang disyaki palsu dalam hasil kutipan sebuah syarikat perkhidmatan bas di sini.

Ketua Polis Daerah Serian, Supt Freddy Bian Stanislaus Bian berkata, wang kertas berkenaan dikesan oleh sebuah institusi perbankan selepas pihak bank menghadapi kesukaran mengesahkan ketulenannya.

Menurutnya, polis menerima laporan berhubung penemuan itu semalam selepas pihak bank beberapa kali cuba mengesahkan wang kertas berkenaan menggunakan mesin pengesan wang.

“Siasatan awal mendapati wang kertas berkenaan merupakan sebahagian daripada hasil kutipan syarikat daripada pelanggan pada 26 Oktober.

“Bagaimanapun, pihak syarikat tidak dapat mengenal pasti pelanggan yang menggunakan wang kertas disyaki palsu itu untuk membuat bayaran,” katanya.

Beliau berkata, wang kertas berkenaan kemudian diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan berkaitan penggunaan wang kertas palsu atau tiruan sebagai wang yang tulen.

Freddy berkata, polis kini menjalankan siasatan bagi mengesan sumber wang kertas yang disyaki palsu berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya memeriksa ciri-ciri keselamatan wang kertas ketika menerima wang tunai bagi mengelakkan menerima wang palsu.

“Sekiranya menerima wang kertas yang diragui ketulenannya, jangan menggunakannya atau menyerahkannya kepada orang lain.

“Sebaliknya, dapatkan pengesahan daripada institusi perbankan atau serahkan wang berkenaan kepada polis,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Oleh Connie Chieng