MIRI, 28 Oktober: Dua lelaki masing-masing berusia 42 dan 26 tahun dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan oleh Mahkamah Majistret Miri, di sini malam tadi, selepas didapati bersalah mencuri tiga unit pemampat penyaman udara dan dua gelung tembaga.
Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah gudang penyimpanan barang di Taman Wah Shin, di sini.
Perbuatan mereka terbongkar selepas pemilik gudang membuat laporan polis pada 14 Oktober lalu selepas memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.
Rakaman kira-kira 1.00 tengah hari pada hari kejadian menunjukkan dua lelaki tidak dikenali mengambil barangan berkenaan tanpa kebenaran menggunakan sebuah kereta berwarna kuning.
Hasil siasatan, polis berjaya mengesan dan menahan kedua-dua suspek berdasarkan kenderaan yang digunakan sebelum merampas semula barangan yang dicuri.
Oleh Liong Chai Ling





