Mayat mangsa lelaki 14 tahun dipercayai dibaham buaya di Sebuyau dijumpai penduduk kampung petang tadi – Bomba

Facebook
WhatsApp
REMAJA lelaki berusia 14 tahun yang dikhuatiri dibaham buaya di Sungai Plaie Ulu, Sebuyau, ditemukan penduduk kampung petang tadi.

SEBUYAU, 27 Oktober: Remaja lelaki berusia 14 tahun yang dikhuatiri dibaham buaya ketika memunggah buah kelapa sawit ke dalam perahu di Sungai Plaie Ulu, Sebuyau, semalam, ditemukan petang tadi.

Penemuan mangsa disahkan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan, ketika dihubungi Utusan Sarawak sebentar tadi.

“Ya, betul, mayat mangsa telah ditemukan oleh penduduk kampung petang tadi,” katanya.

Pengesahan turut diberikan Ketua Cawangan Penyiasatan Kebakaran Zon Samarahan, Muhammed Mirza Dzalmira Miraj, yang memaklumkan bahawa pihaknya sedang membuat persiapan untuk menghantar pasukan ke lokasi kejadian.

MAYAT remaja berusia 14 tahun yang ditemukan di Sungai Plaie Ulu, Sebuyau, dibawa ke darat oleh penduduk kampung petang tadi.

“Ya, mangsa telah ditemukan dan buat masa ini, kita sedang mempersiapkan pasukan untuk ke lokasi kejadian,” katanya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang selepas dikhuatiri disambar buaya ketika memunggah buah kelapa sawit ke dalam perahu di sungai berkenaan.

Maklumat lanjut mengenai keadaan mangsa dan kejadian itu masih belum diperoleh.

Utusan Sarawak akan mengemas kini laporan ini sebaik sahaja maklumat lanjut diterima.

Oleh Adi Safarman